Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:06pm Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya, yang didominasi kumpulan pro-Mahasiswa, hari ini mengambil sikap sealiran dengan musuh tradisinya berhubung keputusan Sultan Perak dalam krisis politik di negeri tersebut.

Yang dipertua MPP Mohd Ridhuan Mohammad berkata tindakan Sultan Azlan Shah, yang juga canselor universiti itu, tidak wajar dipersalahkan.

"Seharusnya persepsi negatif terhadap baginda perlu dijelaskan dengan sebaiknya agar spekulasi ini tidak beterusan sehingga menimbulkan keadaan yang lebih buruk pada masa akan datang.

"Kedaulatan institusi beraja perlu dipertahankan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan.

um student demonstration 100209 banner Walaupun tiada undangan rasmi, Mohd Ridhuan tetap bersama satu majlis menyatakan sokongan kepada Sultan Perak pada jam 6 petang ini anjuran Penggerak Mahasiswa (dulu dikenali pro-Aspirasi), yang bersaing sengit dengan pro-Mahasiswa dalam pilihanraya kampus, bulan lepas.

Perhimpunan itu disertai 150 pelajar - turut dianjurkan Sekretariat Presiden Kolej (SPK) dan Persatuan Pelajar Tinggal Luar Kampus (Puspita) - berarak dari Kompleks Perdanasiswa ke Dewan Tunku Canselor sejauh lebih 100 meter.

Mereka melaungkan "Daulat Tuanku", menyanyikan lagu Negaraku dan membaca beramai-ramai Rukunegara yang dikepalai oleh Wan Hasif Wan Mohd Ali, seorang jurucakap SPK dan pro-Aspirasi.

um student demonstration 100209 swearing Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris turut hadir di majlis berkenaan yang berlangsung selama 45 minit, termasuk perarakan ringkas.

Mohd Ridhuan, calon kerusi umum pro-Mahasiswa, hadir ke perhimpunan di DTC sebagai tanda sokongan terhadap canselor walaupun tidak menyertai perarakan.

"Kami juga menyokong tindakan yang dilakukan oleh SPK kerana berusaha untuk mempertahankan maruah Sultan Perak," katanya.

"Kami akan bersama-sama dengan semua tindakan yang berusaha untuk menyatakan kebenaran lebih-lebih lagi demi menjaga kedaulatan sultan itu sendiri."

Beliau juga menggesa pergolakan yang berlaku antara Pakatan Rakyat dengan BN itu diselesaikan mengikut undang-undang yang sedia termaktub dalam perlembagaan negara.

Sultan Azlan dipertikaikan susulan keputusan baginda menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya melepaskan jawatan masing-masing minggu lepas.

Pembangkang mendakwa titah sedemikian tidak termaktub dalam undang-undang tubuh negeri Perak.

umno youth demonstration against karpal singh 100209 08 Baginda juga tidak memperkenan untuk membubarkan DUN Perak seperti permohonan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, pagi tadi, lebih kurang 100 penunjuk perasaan (foto kanan) berkumpul di kaki Menara Maybank, dekat terminal bas Puduraya bagi membantah tindakan yang dianggap mencabar institusi Raja-raja Melayu.

Perhimpunan yang terdiri penyokong Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor itu bermula kira-kira pukul 9.55 pagi.

Mereka melaungkan "Daulat Tuanku" sambil membawa kain-kain rentang antaranya menggesa agar kerakyatan pengerusi DAP dan juga peguam terkenal, Karpal Singh dilucutkan.

Mereka melilitkan kepala dengan kain kuning atau bersongkok dengan lilitan kain yang sama.

Mereka kemudian berarak ke pejabat peguam itu - terletak kurang 1km - untuk meninggalkan memorandum dan kemudian bersurai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS