Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: MB harus dibenar panggil mesyuarat DUN
Diterbitkan:  Feb 8, 2009 10:52 AM
Dikemaskini: 2:55 AM

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata "tindakan melompat" wakil rakyat di Perak seharusnya mengakibatkan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) tetapi oleh kerana Sultan Azlan Shah mengisytiharkan tidak perlu diadakan pilihanraya, maka keputusan itu harus dihormati.

mahathir mohamad 180108 Katanya, menteri besar pembangkang harus dibenarkan memanggil mesyuarat DUN dan undi tidak percaya perlu diluluskan terhadap kerajaan berkenaan, lapor Bernama.

"Tetapi jika menteri besar tidak mahu mengadakan sidang DUN, jadi bagaimana kita boleh paksa beliau berbuat demikian.

"Undang-undang menyatakan undi tidak percaya mesti diluluskan sebelum ada pertukaran kerajaan.

"Sekalipun mereka terus memerintah negeri itu, mereka bertindak sebagai kerajaan minoriti. Bagaimana kerajaan minoriti hendak mentadbir negeri, bila ia tidak punya sokongan," kata Dr Mahathir selepas demonstrasi teknologi SmartPool di the Mines Waterfront Business Park di ibunegara semalam.

Mengenai laporan bahawa pembangkang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan berhubung keputusannya, Dr Mahathir berkata walaupun tindakan pembangkang itu tidak beretika, undang-undang membolehkan tindakan itu diambil.

Bagaimanapun, Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin berkata, pihaknya tidak akan memfail saman terhadap Sultan.

'Demonstrasi bukan budaya M'sia'

Mengenai undang-undang antilompat parti yang dicadangkan, Dr Mahahtir berkata Umno pada satu masa dulu ada meminta semua wakil rakyatnya menandatangani surat tidak bertarikh untuk digunakan jika mereka meninggalkan parti, tetapi ini sekarang tidak sah dari segi undang-undang.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 31 Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pembangkang, yang hilang kuasa mentadir kerajaan Perak, perlu sedar bahawa demonstrasi jalanan bukan budaya Malaysia dan menunjuk kekuatan seperti ini boleh berlaku terhadap mereka pada masa depan,

"Ini (demonstrasi jalanan) bukan budaya kita. Bagaimana anda hendak membentuk sebuah kerajaan dengan bertindak di jalan raya. Jika mereka (pembangkang) sendiri menggalakkan demonstrasi jalanan, macam mana pula mereka hendak mentadbir negeri.

"Jika anda bertindak di jalan raya setiap kali ada masalah, maka jika dan bila anda membentuk kerajaan, orang lain akan melakukan yang sama," katanya.

Para penyokong Pakatan Rakyat (PR) mengadakan demonstrasi semasa upacara mengangkat sumpah menteri besar Perak yang baru kira-kira satu kilometer dari Istana Kuala Kangsar.

Kerajaan PR yang belum berusia setahun tumbang selepas tiga anggota dewan undangan (Adun) keluar parti menjadi Adun bebas dan menyokong BN.

Manakala Adun Umno yang keluar parti dan menyertai PKR sebelum ini, kembali semula ke pangkuan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS