Polis mencari empat penunjuk perasaan termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan membantah pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar baru Perak semalam.
Orang ramai yang mengenali keempat-empat mereka boleh menghubungi timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Supt
Shaari Ismail di talian 019-57 84 40 2 atau 05-24 01 99 9.
Manakala sembilan lelaki, yang ditahan dalam perhimpunan di depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar petang semalam ditahan reman selama dua hari hingga esok, lapor Bernama .
Ketua polis negeri Datuk Zulkefli Abdullah berkata kesemua mereka yang berusia 22 hingga 55 tahun ditahan di pejabat polis Kuala Kangsar disiasat atas dakwaan merusuh dengan senjata.
Bercakap dalam sidang medianya hari ini, Zulkefli berkata beliau yang sedang menyemak gambar-gambar yang diperolehi semasa kekecohan percaya terdapat mahasiswa terbabit dalam kejadian itu.
Gambar-gambar mereka akan dikemukakan kepada institusi-institusi pengajian tinggi swasta dan awam untuk tindakan lanjut, katanya.
Menurut agensi berita itu lagi, empat anggota polis pencegah rusuhan FRU cedera, manakala dua kenderaan polis rosak dibaling batu oleh penyokong Pakatan Rakyat.
Anggota polis terbabit diberi rawatan sebagai pesakit luar, kata Zulkefli.
Polis juga meminta pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan dalam kejadian selepas solat Jumaat dan berlanjutan hingga selepas Asar agar membuat laporan polis.
Selain itu, polis juga menerima banyak mesej SMS palsu dan blog yang mendakwa ada masjid dibakar dan kejadian huru-hara yang boleh membawa ketakutan kepada orang ramai.
"Mereka yang menyebarkan SMS palsu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membuat sebarang kenyataan menakutkan orang awam yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun," Zulkefli dipetik berkata.