Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Kereta saya direjam, ditendang
Diterbitkan:  Feb 6, 2009 5:36 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya orang ramai yang berhimpun membantah pelantikan menteri besar baru bukan daripada Perak.

Sebaliknya, beliau yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak, percaya mereka diimport dari negeri-negeri lain.

Ribuan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul membantah pelantikan menteri besar BN itu Datuk Dr Zambry Abd Kadir selepas solat Jumaat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar petang tadi.

Masjid tersebut terletak kira-kira satu kilometer dari Istana Iskandariah - tempat berlangsungnya majlis angkat sumpah menteri besar yang baru.

"Kereta saya dibaling batu, ditendang. Mereka berbaring di jalan seolah-olah di Timur Tengah dan Pakistan," katanya ketika ditemubual TV1.

"Adakah itu cara Islam dan orang beriman?" katanya lagi.

Menurutnya, penunjuk perasaan terbabit telah memberi gambaran yang buruk terhadap Islam.

'Raja saya dihina'

"Perkara itu amat memalukan dan tidak pernah berlaku di negeri Perak," tambahnya.

"Saya sedih Raja saya dihina begitu.

"Kalau itu rakyat negeri Perak, itu adalah rakyat yang derhaka kepada Sultannya," tambahnya.

Mengulas mengenai pelantikan Dr Zambry sebagai menteri besar, Zahid berkata ia sah mengikut undang-undang tubuh negeri Perak.

"Ia telah diperkenankan oleh Tuanku dan ada sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.

Perak dilanda krisis politik apabila empat Adun Pakatan Rakyat keluar parti. Tiga daripada mereka menjadi wakil rakyat bebas, manakala seorang lagi merujuk kembali kepada BN.

Berikutan itu, jumlah kerusi yang dimilik Pakatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tinggal 28 dan sama jumlahnya dengan kerusi Barisan Nasional.

Ketiga-tiga Adun bebas itu kemudiannya menyatakan sokongan mereka kepada BN.

Tindakan itu sekal igus memberi kelebihan majoriti kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Keadaan menjadi tegang apabila Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan seperti yang dititahkan oleh Sultan Azlan Shah.

Susulan itu, kesemua 28 Adun Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah Dr Zambry jam 3.30 petang tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS