kemaskini 5.30pm Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "tidak derhaka" dan menteri besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.
Gabungan pembangkang, tambahnya, menubuhkan panel peguam untuk mengkaji kesahihan pelantikan menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau juga menjelaskan, Pakatan Rakyat akan terus menerangkan kepada orang ramai apa yang sedang terjadi di negeri itu dan menggesa para penyokongnya membantah secara aman.
kemaskini 4.39pm Polis Perak mengesahkan kira-kira sejam lalu bahawa sembilan penunjuk perasaan berjaya ditahan.
Lebih kurang 3,000 penyokong Pakatan Rakyat bersurai beransur-ansur selepas diarahkan oleh seorang pemimpin PAS Perak setengah jam lalu.
kemaskini 4.22pm
Mesyuarat beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya berlangsung selepas jam 4 petang tadi.Naib pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar kelihatan bersama beberapa lagi pemimpin gabungan tiga parti itu.
Mereka dijadual mengadakan sidang media jam 4.30 petang ini, mengulas perkembangan terkini di Perak yang menyaksikan kewujudan dua menteri besar - Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi pihak BN dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi pihak Pakatan Rakyat.
kemaskini 4.17pm Difahamkan exco kerajaan Kedah, V Arumugam yang dilaporkan "gagal dihubungi" masih bersama PKR.
Kebimbangan tentang "kehilangannya" cepat merebak susulan wujud dakwaan terdapat usaha seumpama Perak sedang dilakukan terhadap kerajaan Pakatan di Kedah.
kemaskini 4.12pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak selesai selepas bacaan doa mufti Datuk Seri Harussani Zakaria.
kemaskini 4pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Perak, memimpin kerajaan BN yang berjaya menumbangkan Pakatan Rakyat melalui usaha lompat parti.Seorang AJK PAS Perak dibenarkan menaiki kenderaan polis pencegah rusuhan FRU dan berucap kepada 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di depan Masjid Ubudiah.
Beliau berkata mesej mereka "telah disampaikan ke serata dunia" dan mereka bersurai.
kemaskini 3.55pm
Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir sedang berlangsung dan disiarkan secara langsung melalui TV1.
kemaskini 3.48pm
Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.
kemaskini 3.36pm
Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
kemaskini 3.33pm Seorang wakil pemimpin PAS, Khalilul Rahman Abdul Samad mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.
Beliau juga seorang pegawai Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menteri besar Pakatan Rakyat yang masih mempertahankan jawatannya dan enggan mengiktiraf penggantinya.
kemaskini 3.25pm
Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak.Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.
kemaskini 3.20pm Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.
Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.
kemaskini 3.18pm
Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.
Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.
kemaskini 3.11pm Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.
Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.
kemaskini 3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.
Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.
kemaskini 3.01pm Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.
Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.
Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.
kemaskini 2.58pm Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua.
Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.
Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.
kemaskini 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.
Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.
Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.
kemaskini 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.
Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.
kemaskini 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.
Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.
Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.
Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.
kemaskini 2.21pm Beberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.
Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.
kemaskini 2.15pm Gelaran "Datuk Seri" yang dianugerahkan kepada bekas menteri besar Pakatan Rakyat di Perak wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.
Ketua bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang krisis tersebut dan bersikap
"lempar batu sembunyi tangan", lapor Bernama .
kemaskini 1pm Datuk Seri Najib Razak dilaporkan membayangkan perkembangan di Perak ini akan berulang di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.
Timbalan perdana menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan semasa politik.
kemaskini 12.40pm Speaker DUN Perak, V Sivakumar akan mengutuskan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda mengadakan sidang khas dewan.
Sidang tergempar - seboleh-bolehnya hari ini atau esok - bagi menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di dewan tersebut.
Sivakumar berkata beliau juga memohon baginda menunda majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir 3.30 petang ini.
Surat itu akan dikirimkan kepada baginda secepat mungkin.
kemaskini 12.10pm Satu perhimpunan besar menyokong Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan membantah pelantikan menteri besar baru kerajaan BN akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.
kemaskini 12.01pm Menteri Besar Pakatan Perak akan bertolak ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari ini.
kemaskini 11.50am Tiada kepungan polis di kediaman rasmi menteri besar. Polis hanya berkawal di jalan-jalan raya menuju dan berdekatan kediaman Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
kemaskini 10.45am Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.
kemaskini 10.20am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan barisan anggota exconya berkereta keluar dari pejabat SUK. Menteri besar pulang ke kediaman rasminya.
kemaskini 10.15am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan ketua polis daerah Ipoh, Azisman Alias.
Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan meninggalkan bilik tersebut.
Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu ketua polis daerah itu supaya mematuhi prosedur.
kemaskini 9:40am Menteri besar Pakatan Rakyat itu, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exconya tiba di bangunan setiausaha kerajaan negeri.
Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk. Mohamad Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan.
kemaskini 9.30am Semua anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar.
Laporan sebelumnya :
Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa memberitahu bahawa satu protes besar-besaran akan diadakan di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.
Ketika dihubungi Malaysiakini , protes anjuran Pemuda Pakatan Rakyat itu bertujuan membantah majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Dr Zambry, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, dipilih BN untuk mengisi jawatan tersebut setelah empat wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Jamaluddin Mohd Radzi (bekas wakil rakyat PKR Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (PKR Changkat Jering), Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan wakil rakyat bebas.
Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - setelah 10 hari berada dalam PKR – kembali bersama BN kelmarin.
Norazli menambah, beliau difahamkan lima trak unit pencegah rusuhan FRU telah berada di masjid tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui jumlah anggota polis yang dikerahkan.
Katanya, beliau menjangkakan lebih 10,000 orang akan hadir untuk menyertai perhimpunan tersebut.
Ditanya sama ada mereka akan mengadakan bantahan di Istana Iskandariah – tempat berlangsung majlis angkat sumpah Dr Zambry jam 3.30 petang ini, Norazli berkata:
"Tidak. Pemuda Pakatan Rakyat tidak merancang untuk mengadakan protes di Istana Iskandariah."
Mohammad Nizar malam tadi berkata semua 28 Adun Pakatan Rakyat termasuk beliau akan memulaukan majlis tersebut sebagai lambang tidak mengiktiraf kerajaan baru BN itu.