Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi berkata beliau akan menyokong Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri Perak kerana yakin parti itu boleh membela nasib semua bangsa.
Katanya, beliau akan menyokong apa-apa keputusan BN di DUN Behrang, demi kebaikan dan faedah rakyat.
Jamaluddin menegaskan beliau akan tetap menjadi anggota Bebas di DUN Behrang dan tidak bercadang untuk menyertai Umno buat masa ini, kata Bernama.
Biar masa yang menentukan, katanya.
Beliau turut menafikan khabar angin kononnya tindakannya menjadi anggota bebas didorong oleh faktor habuan dan sogokan.
Beliau mengulangi keputusannya menjadi anggota Bebas dibuat setelah ada tindakan seolah-olah mahu menghalaunya keluar dari PKR.
Katanya, ini berikutan tindakan parti itu menghantar surat mengosongkan kerusinya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.
'Jiwa pada BN'
Jamaluddin yakin dapat meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat walaupun beliau anggota bebas kerana percaya para pengundi di kawasannya akan tetap menyokong beliau berdasarkan perkhidmatan yang diberikan selama ini.
Sementara itu, Adun Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Jailu berkata walaupun beliau kini merupakan anggota bebas di DUN Perak tapi jiwanya adalah pada BN.
"Bebas tapi jiwa pada BN," katanya.
Mohd Osman berkata beliau akan memainkan peranan sebagai anggota bebas yang mesra pada BN di DUN Perak.
Beliau yakin dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dengan lebih berkesan sebagai anggota bebas kerana tidak dikekang oleh mana-mana parti.
Mohd Osman menegaskan beliau tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.