Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasarudin Halim memberi tiga sebab mengapa beliau kembali semula ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional.
Beliau menjelaskan demikian dalam satu kenyataan ringkas yang diedarkan kepada pihak media selepas sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya petang ini.
Pada 25 Januari lalu, Nasarudin Hashim mengumumkan keluar dari Umno untuk menyertai PKR.
Nasaruddin (foto) membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Berikut adalah kenyataan penuh Nasarudin
Dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai rakyat negeri Perak, yang ingin melihat wujudnya sebuah kerajaan yang stabil di negeri yang saya kasihi ini dan setelah mengambil pertimbangan perkara-perkara berikut, iaitu:
Keadaan politik yang tidak menentu hingga wujud satu kerajaan yang tidak kukuh di negeri Perak;
Mengambil kira dan menghormati rakyat, pengundi-pengundi di kawasan pilihanraya N39 Bota serta menghormati prinsip-prinsip dan amalan demokrasi; dan
Mengambil kira nasihat dan pandangan rakan-rakan politik dan orang-orang perseorangan yang ingin melihat wujud keadaan dan suasana politik dan kerajaan yang kukuh di negeri Perak:
Maka saya dengan perasaan penuh kesedaran dan tanggungjawab kembali semula menyertai Umno dan Barisan Nasional mulai daripada hari ini.