Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M nasihat Pak Lah 'fikir dulu'...
Diterbitkan:  Feb 4, 2009 2:38 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya 'fikir dahulu' sebelum menerima bekas ahli dewan undangan negeri (Adun) PKR di Perak menyertai Umno.

"Presiden Umno berkata Umno sedia untuk menerima siapa sahaja untuk menjadi ahli. Ini memanglah dasar parti," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menulis dalam blognya hari ini, kedua-dua Adun PKR itu mempunyai masalah kerana mereka dituduh terlibat dengan rasuah.

Beliau mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) yang keluar parti dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

"Apakah Umno begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka?" soalnya.

Jamaluddin dan Osman menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.

Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di Ipoh selama tiga hari bermula 10 Februari ini.

Dr Mahathir berkata, jika mereka diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah, maka kerajaan pimpinan Umno (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah.

"Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam PRU13," tambahnya ketika mengulas perkembangan terkini di Perak sekarang.

"Umno sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu.

"Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej Umno akan jadi lebih buruk," kata Dr Mahathir.

"Dato Abdullah Presiden Umno, fikir dahulu sebelum beria-ia nak terima orang yang seperti ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS