Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan – yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim – mengemukakan permohonan rayuannya.

Ramlang Porigi yang menganggur sejak 20 Januari lalu mendakwa memohon budi bicara Jakim bagi menerima semula beliau berkhidmat dengan jabatan itu.

"Saya minta diberikan peluang kedua," katanya dalam surat kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) yang diserahkan dengan tangan semalam di pejabat lamanya di Putrajaya.

Ramlang - yang berceramah di tiga tempat dan kemudian mengadakan sidang media bersama PKR ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas - didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja" oleh Jakim.

Lembaga tatatertib Jakim yang dipengerusikan oleh ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Ramlang berkata, beliau difahamkan proses rayuan itu biasanya memakan masa tiga bulan sebelum keputusan dapat dibuat.

Sehubungan itu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, bapa kepada tiga orang anak itu sekarang dalam proses mencari pekerjaan baru.

"Saya juga sedang cari rumah sewa (untuk berpindah)," katanya yang baru pulang daripada kampung halamannya di Sandakan, Sabah setelah dipecat mengejut dua minggu lalu.

Beliau setakat ini masih menginap di kuaters kerajaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta – tempat beliau menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat Anwar, Ogos lalu.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Ramlang – yang pernah mendakwa mendapat banyak tohmahan dan fitnah akibat kehadirannya dalam majlis sumpah itu – juga merancang menceritakan semua pengalamannya kepada umum melalui ceramah dan penulisan berbentuk buku.

"Apa pun saya kena bincang dengan peguam saya. Kalau dia bagi lampu hijau, insya Allah ," katanya.

Peguamnya Ahmad Nizam Hamid ketika dihubungi berkata pihaknya memohon semakan terhadap keputusan Jakim itu di mahkamah jika rayuan semalam ditolak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS