dikemaskini Bekas timbalan menteri pertahanan hari ini mengesahkan memang ada pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan seorang ketua bahagian PKR, Fauzi Muda pada 11 Mac tahun lalu, seperti yang didakwa.
Datuk Zainal Abidin Zin mengesahkan pertemuan tersebut seperti yang didakwa Fauzi dalam akuan bersumpahnya semalam. Fauzi adalah ketua bahagian PKR Ipoh Barat.
Dalam akuan berkanun itu , Fauzi mendakwa, pertemuan di kediaman rasmi Najib sejurus selepas pilihanraya umum lalu, melibatkan rundingan RM50 juta untuk memujuk dua wakil rakyat PKR agar menyertai BN.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Ampang hari ini, Zainal menambah, beliau bagaimanapun tidak mengetahui butiran perbincangan antara Fauzi dengan timbalan presiden Umno.
Menurutnya lagi, perbincangan itu diadakan di tempat terbuka di kediaman Najib di Putrajaya tetapi beliau tidak mendengar perbualan itu kerana terdapat ramai orang di situ.
Bawa Fauzi jumpa Najib
Zainal mengakui beliau menaiki kereta yang sama dengan Fauzi dan seorang rakannya Sulaiman Mansor, yang juga merupakan kawan kepada Fauzi.
Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak mengenali Fauzi dan tidak tahu yang Fauzi seorang pemimpin PKR.
"Fauzi kata dia hendak jumpa Datuk Seri Najib kerana ada urusan peribadi dan urusan perniagaan.
"Kebetulan saya juga hendak berjumpa Datuk Seri Najib untuk memberitahu mengenai kekalahan saya di kerusi parlimen Bagan Serai," tambahnya.
Menurut Zainal lagi, sudah menjadi prinsipnya "bila orang jumpa saya, apa yang boleh saya tolong, saya tolong".
"Dari air mukanya (Fauzi) saya percaya dia tidak seronok. Tapi bila saya tanya hasil pertemuan itu, dia kata OK-lah," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dari riak muka Fauzi, beliau tidak fikir ada tawaran daripada Najib kepada Fauzi.
Menurutnya, Fauzi juga tidak memberitahunya hasil perbincangan dengan Najib.
"Saya tanya Fauzi selepas perbincangan selesai, Fauzi kata oklah.
Saya tidak dengar Datuk Seri Najib setuju, tapi saya rasa tidak ada tawaran RM50 juta.
"Saya rasa juga tidak ada perbincangan tentang tawaran tersebut," katanya.
Tidak lagi jumpa Fauzi
Menurut Zainal, beliau hanya berjumpa Fauzi pada malam itu sahaja dan tidak pernah berjumpanya lagi selepas itu.
"Tak ada sebab saya nak jumpa (Fauzi)," katanya lagi sambil menambah terdapat lebih 10 orang Umno, tetapi tidak ada VIP, di rumah Najib pada malam tersebut.
"Saya bercakap dengan Datuk Seri Najib kes saya (kalah pilihranraya), Fauzi bercakap kes dia," katanya.
"Saya tak dengar apa yang Fauzi bercakap dengan Datuk Seri Najib.
Kita tak dengar dia bercakap tentang duit.
"Kalau saya tanya banyak kepada Fauzi, orang kata saya jaga tepi kain orang. Sulaiman yang minta tolong saya bawa Fauzi jumpa Datuk Seri Najib," katanya.
"Tiada tawar menawar'
Selepas perjumpaan dengan Najib itu, Zainal berkata, Fauzi balik sendiri.
Zainal berkata, beliau telah lama mengenai Sulaiman yang merupakan orang lama dalam Pergerakan Belia 4B dan juga menjadi ahli Umno bahagian Bagan Serai.
Ditanya mengenai dakwaan Fauzi dalam akuan berkanunnya, Zainal berkata: "Saya tidak akan ambil apa-apa tindakan terhadap Fauzi.
"Saya tidak tahu dia ini orang PKR, tapi prinsip saya, bila orang jumpa saya, apa yang boleh saya tolong, saya tolong," katanya.
Zainal juga berkata, beliau tidak tahu berapa lama Fauzi bercakap dengan Najib.
"Fauzi tidak cerita tawar-menawar dengan Datuk Seri Najib kepada saya. Dia seorang seorang bincang dengan Najib," katanya lagi.
Najib setakat ini belum memberikan sebarang reaksi terhadap dakwaan ketua bahagian PKR itu.