Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6:42pm Dua exco kerajaan Perak - yang menimbulkan kegemparan susulan desas-desus akan melompat kepada BN - hari ini menafikan keluar PKR.

Dalam dua sidang media berasingan, Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Jailu menyatakan mereka berdua akan bertugas seperti biasa dan "tidak timbul telah melompat parti."

Jamaluddin juga menafikan beliau menghilangkan diri sejak pertengahan minggu lalu dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang.

Dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media di sebuah hotel dekat dengan lapangan antarabangsa KLIA, wakil rakyat itu berkata beliau mengambil cuti sakit selama tiga hari mulai 28 Januari.

"Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti," katanya.

jamaluddin press conference 020209 firdaus saharuddin Dalam kenyataan dua halaman yang diedar oleh pegawai khasnya Firdaus Saharuddin jam 3.30 petang tadi, Jamaluddin juga berkata beliau masih berkhidmat sebagai Adun dan menyifatkan kenyataan Speaker DUN Perak V Sivakumar semalam "tidak berasas sama sekali".

Menurut Firdaus, bosnya itu "bukan menghilangkan diri, (dan) bukan dilarikan."

"Kita sudah hantar MC (surat sakit) kepada kerajaan negeri dan sepatutnya kerajaan negeri maklum tentang perkara ini," katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin pernah bercadang membuat laporan polis berhubung kehilangan Jamaluddin dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

osman jailu rep pc 020209 puzi ghazali 01 Dalam sidang media di sebuah hotel di Shah Alam pada 4 petang tadi, wakil Osman turut mengedarkan kenyataan exco Perak itu yang menafikan telah keluar PKR seperti dispekulasikan.

"Saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat seperti biasa dan sehingga kini tidak timbul soal saya telah melompat parti," kata Osman melalui Puzi Ghazali.

Dalam sidang media itu, Firdaus berkata Jamaluddin kini sedang dalam perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur.

Pegawai itu bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi Jamaluddin di negeri itu.

Beliau bagaimanapun menafikan wakil rakyat PKR itu bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung desas-desus melompat parti kepada BN.

Sabtu lalu, desas-desus bertiup kencang bahawa Jamaluddin bersama Osman berada di Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya di Pekan.

Mengulas sama ada Jamaluddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan peletakan jawatannya, Firdaus berkata mereka sedang merujuk peguam.

Tarikh tindakan itu akan diambil bagaimanapun tidak dinyatakan.

Beliau juga tidak tahu sama ada Jamaluddin tampil membuat laporan polis berhubung perkata itu.

"Pagi ini saya tidak ada bersama dia," katanya.

Ditanya sama ada Jamaluddin akan membuat keputusan keluar PKR dan menjadi bebas, Firdaus hanya menjawab ringkas: "Sampai hari ini masih ahli PKR."

Katanya, Jamaluddin mengambil inisiatif mengadakan sidang akhbar itu bagi "menjawab benda yang tidak benar."

Lebih kurang 50 wartawan menghadiri sidang media kira-kira lima minit itu. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka terlepas apabila menjangkakan ia bermula jam 4 petang.

Sidang media exco itu ditunggu-tunggu kerana Jamaluddin dijangka hadir sendiri menjelaskan pendiriannya apabila beberapa hari tidak dapat dihubungi dan PKR bimbang beliau akan melompat kepada BN.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau :

Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Unangan Negeri (Adun) kawasan Behrang.

Sukacita saya sekai lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat.

Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit.

Pada 31 Januari 2009 hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oleh saya untuk berehat.

Bagaimanapun, laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya.

Dalam hubungan ini, adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak berasas sama sekali.

Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau.

Kenyataan tuan Speaker tersebut benar-benar mengejut saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti.

Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu.

Yang benar,

YB Jamaluddin Mohd Radzi

2 Februari 2009


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS