Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS menyifatkan isu penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa membelasah seorang pemimpin Umno sebagai tindakan yang menjejaskan nama baik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Ia (SPRM) hilang kawalan. Tindakan itu, jika benar, menjejaskan imej SPRM yang mahu memastikan amalan integriti dan ketelusan.

"Ia juga menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong," kata Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar.

SPRM – sebelumnya dikenali Badan Pencegah Rasuah (BPR) – dinaiktaraf sebagai suruhanjaya tahun lalu.

Mahfuz mengulas laporan polis Halimi Kamaruzzaman yang mendakwa didera serius sewaktu disiasat berhubung amalan politik wang selama empat hari mulai 23 Januari.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran, Pahang itu mendakwa tiga pegawai SPRM menumbuk, menendang dan memaksanya berbogel dan kemudiannya berguling-guling di atas lantai.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

Halimi, dalam aduan polisnya itu, bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dengan Norza.

Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena, berharap satu badan bebas ditubuhkan bagi mengkaji kesahihan dakwaan salah laku agensi-agensi penguatkuasaan termasuk SPRM dan polis.

Tambahnya, badan bebas itu perlu kerana kerana negara kini berdepan isu mendiang A Kugan didakwa mati dibunuh sewaktu dalam jagaan polis dua minggu lalu.

Mahfuz juga berkata, walaupun Halimi seorang pemimpin Umno, semua pihak wajar membelanya demi menegakkan prinsip keadilan terhadap semua.

Sementara ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula mendesak SPRM tampil menjelaskan kesahihan dakwaan Halimi itu dan pegawai penyiasat yang terlibat dan seterusnya mengambil tindakan.

"Keluarkan mereka (daripada SPRM), bersihkan sistem," kata ketua Wanita PKR itu.

Menyatakan beliau terkejut dengan dakwaan kejadian itu, Zuraida sekali lagi menegaskan perlunya SPRM berubah secara menyeluruh dalam siasatannya.

"Seperti kita tegaskan dalam Parlimen dulu, SPRM jangan tukar baju sahaja. Mula-mula, apabila mereka menyiasat kes rasuah dalam Umno, kita gembira.

"Tetapi kalau jadi macam ini (penderaan), ia hanya akan kembali kepada keadaan lama (sebelum dibentuk suruhanjaya).

"SPRM patut menunjukkan ketelusan dan profesionalisme mereka dalam hal ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS