dikemaskini Walaupun tanpa isu dakwaan penderaan seorang pemimpin bahagian Umno sewaktu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Umno umumnya tidak bersetuju campur tangan badan itu dalam membanteras gejala politik wang dalam parti.
Pemuda Umno Padang Serai menyifatkan siasatan SPRM "tidak tepat pada masanya", lebih-lebih lagi hampir dengan pemilihan parti, Mac ini.
Ketua Pemudanya Ismadi Abu Talib turut mempertikaikan tangkapan suruhanjaya itu terhadap sejumlah pemimpin Umno peringkat pertengahan baru-baru ini tetapi tidak menfokuskan pemimpin parti-parti lain.
"Tangkapan SPRM fokus pemimpin Umno sewaktu dekat dengan pemilihan, seolah-olah ahli Umno sahaja yang yang rasuah.
"Tidak semua pemimpin Umno mengamalkan rasuah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Lebih-lebih lagi, tambahnya, tindakan sedemikian menyebabkan wujud pertembungan bidang tugas antara SPRM dengan Lembaga Displin Umno untuk membanteras politik wang dalam parti tersebut.
"Akar umbi terkapai-kapai, yang mana satu nak ikut?" katanya.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) – sebelum pembentukan suruhanjaya baru itu – sudah memadai untuk mengawal gejala buruk itu, tambahnya.
Mengulas dakwaan insiden penderaan seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran, Pahang di tangan penyiasat SPRM, Ismadi berkata beliau membantah cara siasatan tersebut.
"Saya tidak nampak kebaikan SPRM. Saya tidak bersetuju dan tidak sokong tindakan itu," katanya.
Dalam laporan polisnya kelmarin, Halimi Kamaruzzaman mendakwa mengalami penderaan serius sewaktu disiasat berhubung amalan politik wang anggota MT dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.
Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.
Halimi mendakwa tiga pegawai SPRM menumbuk, menendang dan memaksanya berbogel dan kemudiannya berguling-guling di atas lantai.
"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan (mengaitkan dengan Norza)," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.
Ismadi menambah, beliau difahamkan kira-kira 600 penyiasat ditambah bersama SPRM dan ia memberi tafsiran bahawa pemimpin Umno mengamal rasuah.
"Saya rasa kita membuka pekung di dada, seolah-olah memang pemimpin kita mengamalkan rasuah.
"Bagaimana saya nak beritahu kepada akar umbi bahawa pemimpin-pemimpin kita itu benar-benar bersih (daripada politik wang)?" katanya.
Sejak siri penangkapan SPRM terhadap pemimpin Umno, beliau juga mengalami perasaan fobia untuk keluar rumah walaupun berjumpa kawan-kawan.
Katanya, tangkapan tersebut menjadi satu kejutan kepadanya, tambahan pula beliau baru sahaja memegang jawatan tersebut pada pemilihan bahagian itu November lalu.
"Oleh yang demikian saya mahukan definisi politik wang yang jelas dalam Umno supaya akar umbi tidak terawang-awang dengan matlamat penubuhan SPRM," katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan agar masalah politik wang dalam parti tersebut dibincangkan dan dibahaskan dalam persidangan agung, mulai 24 Mac ini.
Manakala Naib Ketua Bahagian Umno Langkawi, Mohd Rawi Abdul Hamid pula menjelaskan beliau tidak bersetuju sejak awal lagi isu politik wang Umno dibawa kepada SPRM.
Kerana, tambah wakil rakyat Ayer Hangat, ia memberi gambaran kepada akar umbi bahawa pemimpin-pemimpin bahagian mengamalkan politik wang.
Mengulas dakwaan insiden yang menimpa Halimi sepanjang empat hari ditahan SPRM sejak 23 Januari, beliau berasa kesal dan menyifatkan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku.
"Dalam mana-mana siasatan, tidak boleh dijalankan siasatan dengan kekerasan, hatta orang yang ditahan atas dakwaan jenayah pun tidak boleh disiasat dengan kekerasan," katanya sewaktu dihubungi.
Tambahnya, dakwaan insiden sebegini akan menyebabkan rakyat mempersoalkan kaedah siasatan yang dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menggesa MT menentukan sama ada suruhanjaya itu boleh menyiasat berhubung amalan politik wang atau tidak memandangkan lembaga disiplin parti sudah berbuat demikian.
Sementara ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Hazizah Mohd Sultan berkata dakwaan insiden penderaan oleh penyiasat SPRM tidak sepatutnya berlaku.
"Masalah politik harus di selesaikan dengan politik. Bukan cara begitu untuk menyiasat," katanya.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan ahli jawatankuasa, tangkapan tersebut memberikan gambaran tidak elok kepada Umno dan menjatuhkan imej parti itu.
"Tangkapan memburukkan lagi keadaan (Umno), seolah-olah memberi anggapan buruk kepada Umno.
Tambahnya, politik wang yang berlaku dalam parti tersebut adalah perkara kecil dan terpencil yang diperbesar-besarkan.
"Ada satu, dua orang sahaja daripada berjuta-juta ahli Umno yang melakukan rasuah," katanya.
Hazizah menjelaskan, hukuman daripada lembaga disiplin seperti digugurkan keahlian atau digantung jawatan sudah mampu untuk membanteras politik wang dalam parti.