Menteri dalam negeri tidak mahu masyarakat menganggap mereka yang melakukan jenayah sebagai hero dan polis yang menguatkuasakan undang-undang pula sebagai syaitan.
Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang, lapor Bernama .
Tindakan undang-undang akan tetap diambil terhadap mereka yang melanggarnya walaupun polis.
"Kita tidak akan sembunyikan apa-apa fakta," katanya kepada para pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Mengulangi kenyataannya secara umum, Syed Hamid berkata orang ramai tidak boleh mengagung-agungkan seseorang penjenayah seolah-olah seorang hero.
Syed Hamid bagaimanapun enggan mengaitkan kenyataannya itu dengan kematian suspek curi kereta A Kugan semasa dalam tahanan di balai polis Taipan, Subang Jaya, Selasa lepas.
"Saya tidak menuding jari kepada sesiapa," menteri itu dipetik berkata.
Beliau menjelaskan, dalam siasatan 19 kes curi kereta dan samun bersenjata, polis telah menahan tiga yang disyaki termasuk Kugan.
Menteri itu juga meminta orang ramai jangan mempolitikkan siasatan kes kematian Kugan itu kerana ia boleh menyukarkan lagi tugas polis.
"Mereka hendaklah bercakap mengenai kes itu berdasarkan fakta dan bukannya andaian," katanya.
Bedah siasat awal menunjukkan Kugan meninggal dunia akibat paru-paru berair.
Bagaimanapun, bedah siasat kedua dijalankan setelah keluarga Kugan tidak berpuashati dengan punca kematian Kugan itu.
Jumaat lepas, Peguam Negara Tan Abdul Gani Patail mengklasifikasikan kes kematian Kugan sebagai bunuh.
Polis masih menyiasat punca kematian itu dan keputusannya dijangka diketahui dalam masa terdekat.
Jenazah Kugan disemadikan di Puchong petang tadi.