Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 10,000 hilang kerja sejak 1 Jan
Diterbitkan:  Jan 28, 2009 8:02 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Lebih 10,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan sejak 1 Jan tahun ini, kata pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan hari ini.

Tambahnya, lebih ramai dijangka hilang pekerjaan dalam tempoh terdekat apabila semakin banyak syarikat, terutama yang bergiat dalam sektor pembuatan, menghadapi masalah untuk terus beroperasi, lapor Bernama .

Sejajar dengan itu, beliau merayu kepada kerajaan supaya menyalurkan dengan segera peruntukan melalui pakej rangsangan ekonomi kedua bagi membolehkan syarikat mengetahui dengan jelas kedudukan masing-masing.

Bulan lepas, kerajaan menyalurkan pakej rangsangan ekonomi melibatkan RM7 bilion dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan menyalurkan pakej kedua tidak lama lagi.

Menurut agensi berita itu lagi, Shamsuddin berkata kemelesetan ekonomi kali ini lebih teruk berbanding 1997 kerana ia bersifat lebih menyeluruh dan melibatkan sebahagian besar dunia.

Katanya, kemelesetan ekonomi yang berlaku kali ini juga lebih kritikal kerana hampir 600,000 pencari kerja baru di negara ini membanjiri pasaran kerja setiap tahun.

Beliau berkata mereka terdiri daripada lepasan universiti, pemegang diploma, pekerja mahir dan kumpulan yang baru meninggalkan bangku sekolah.

Katanya keadaan menjadi bertambah buruk apabila mereka terpaksa bersaing dengan kehadiran antara 1.5 juta dan dua juta pendatang asing tanpa izin yang turut mencari pekerjaan di negara ini.

Beliau berkata MEF percaya keadaan ekonomi sedia ada akan mengambil masa satu hingga dua tahun untuk kembali pulih.

"Pada masa ini, kerajaan perlu membantu perniagaan dan rakyat Malaysia yang menganggur dalam menghadapi keadaan yang amat getir," katanya.

ADS