kemaskini 7:29pm Enam ditahan polis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjelang perarakan berkonvoi mayat A Kugan - didakwa mati dibunuh dalam jagaan polis minggu lalu - pada jam 2 petang tadi.
Ketua polis daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu Malaysiakini , dua daripada mereka ditahan jam 12.50 tengah hari ini dekat pintu masuk utama hospital itu.
Tiada maklumat lengkap diperolehi tentang keempat-empat yang ditahan dan dibawa ke balai polis Brickfields.
Sementara Bernama pula memetik kenyataan ketua polis daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang berkata tiga daripada
mereka ditahan kerana memakai baju T Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).
Manakala dua lagi kerana cuba bergelut dengan anggota polis.
Penyelaras Hindraf, RS Thanendran termasuk tiga ditahan polis kerana didakwa memakai baju T yang melambangkan pertubuhan itu yang kini diharamkan.
Kelima-lima mereka akan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan.
Dalam laporan berasingan, agensi berita nasional itu melaporkan enam orang semuanya ditahan di PPUM, termasuk seorang suspek kes bunuh.
Mulai jam 2.05 petang ini, beberapa ratus orang berjalan kaki mengiringi sebuah kereta Mercedes berwarna emas yang membawa mayat Kugan sejauh beberapa meter dekat PPUM ke balai polis Taipan, Subang Jaya - tempat mendiang ditemui mati.
Mereka yang berkenderaan sampai depan balai polis berkenaan jam 3.20 petang selama kira-kira dua minit sambil melaungkan slogan.
Lebih kurang 400 orang mengiringi mayat mendiang di lokasi tersebut.
Mereka kemudian bergerak lagi menuju tanah perkuburan di Jalan Puchong.
Kira-kira jam 4.30 petang, mayat Kugan sampai di persimpangan masuk dari Jalan Puchong menuju ke tanah perkuburan Hindu di Kg Baru Batu 14.
Kehadiran ratusan orang di simpang jalan lama ke Kajang itu, kira-kira 500 meter dari tempat pengebumian, menyebabkan kesesakan teruk.
Mayat mendiang kemudian dikeluarkan dari Mercedes dan diusung sambil diiring oleh kira-kira 500 orang sewaktu hujan lebat mula mencurah-curah.
Sementara itu, kira-kira 500 orang lagi berada di tanah perkuburan tersebut sewaktu jenazah mendiang disemadikan.
Turut kelihatan pemimpin-pemimpina DAP dan PKR antaranya Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, beberapa exco kerajaan Selangor termasuk Teresa Kok dan Rodziah Ismail dan ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Mayat Kugan selamat dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang.