Hasrat kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) untuk mengumumkan pelantikan yang dipertua dan timbalan yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan, tergendala hari ini ekoran salah faham berhubung prosedur pelantikannya.
"Kami ingat lepas umum, kemudian cukup dengan hantar notis maklumkan kepada pihak HEP (Hal Ehwal Pelajar)," kata Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tey Hoong Keat.
Pagi tadi, UMANY - yang turut bergabung dalam kumpulan pro-Mahasiswa - menghantar notis mengenai sidang akhbar tersebut.
Bagaimanapun, kira-kira satu jam sebelum sidang media itu dijadual bermula jam 3 petang, UMANY membuat pembatalan di saat akhir yang mengundang pelbagai tanda tanya.
Menurut notis kedua itu, sidang media berkenaan dibatalkan kerana "tekanan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP)."
Ketika dihubungi Malaysiakini, Tey berkata, pro-Mahasiswa memutuskan menangguhkan pengumuman pembentukan kabinet itu atas nasihat HEP.
Dalam pertemuan tersebut, katanya, HEP memaklumkan bahawa pembentukan kabinet hanya akan dibuat selepas pihaknya memanggil semua calon yang menang bermesyuarat berhubung perkara itu.
Dijangka mungkin depan
Tambah Tey berkata, mereka difahamkan bahawa surat berkenaan akan dikeluarkan selepas cuti Tahun Baru Cina pada hari Isnin dan Selasa depan.
Menjawab soalan, beliau berkata, mereka memanggil sidang media sebelum ini kerana tidak jelas dengan prosedur perlantikan itu.
Bagaimanapun, pengerusi gabungan itu, Norazali Zainuddin pula berkata, pro-Mahasiswa bercadang membuat pengumuman awal kerana mendapat maklumat bahawa jawatan yang dipertua MPP turut diintai lawan mereka, pro-Aspirasi - yang kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa.
Katanya, walaupun Penggerak Mahasiswa sebelum ini dilaporkan bersedia menyerahkan jawatan tersebut kepada pro-Mahasiswa, tetapi ia kini didakwa turut berminat kembali terhadap kedudukan itu.
Ditanya tentang kesahihan maklumat itu, Norazali berkata: " Ia dari sumber-sumber dalaman pihak berkenaan."
Beliau juga berkata, keputusan itu dibuat setelah menimbangkan nasihat bekas anggota MPP.
Setelah pelbagai kontroversi, pilihanraya kampus UM yang berlangsung Isnin lalu menyaksikan Penggerak Mahasiswa menang tipis - dengan 20 kerusi - manakala pro-Mahasiswa pula mendapat 19 kerusi. Dua kerusi lagi dimenangi calon bebas.
Bagaimanapun, undi popular dan penguasaan kerusi umum, memihak kepada pro-Mahasiswa.