Seramai 21 orang didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram.
Mereka turut menghadapi tuduhan kedua gagal bersurai selepas diarahkan oleh pihak polis supaya berbuat demikian.
Kumpulan tersebut, termasuk seorang ahli Parlimen dan dua ahli dewan undangan negeri, dituduh melakukan kesalahan tersebut dalam satu perhimpunan anti-ISA di halaman MBPJ di Petaling Jaya pada jam 9 malam hingga 10.10 malam 19 Oktober tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Polis (untuk kedua-dua tuduhan tersebut) dan berdepan dengan kemungkinan dihukum denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan/atau hukuman penjara tidak melebihi setahun bagi setiap tuduhan.
Mereka diwakili oleh Gobind Singh manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Noordin Badaruddin.
Antara mereka yang didakwa itu ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu; Adun kampong Tunku, Lau Weng San dan ahli MBPJ, Tiew Way Keng.
Seorang padri Katholik, Paulino Miranda juga adalah antara mereka yang didakwa hari ini.
Kira-kira 70 orang hadir di mahkamah hari ini sebagai tanda sokongan terhadap mereka yang dituduhkan. Mereka termasuk enam orang padri, pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga, ahli Parlimen DAP bagi Segambut, Lim Lip Eng dan penulis blog Raja Petra Kamarudin.
Ketika bercakap kepada wartawan, Ambiga berkata peguam negara perlu menggugurkan tuduhan terhadap mereka dan sebaliknya berusaha mendakwa jenayah sebenar dan bukannya orang ramai yang mengamalkan hak mereka untuk bersuara.
"Mereka ini bukan merbahaya," katanya.
Di mahkamah, Majistret Rozina Ayob membenarkan ikatjamin RM1,500 seorang dan menetapkan kes itu disebut untuk dibicarakan pada 10 Mac.
Ketika membantahnya, Gobind berhujah, mahkamah sepatutnya mengenakan jaminan peribadi ke atas 21 tertuduh tersebut dan jika tidak, ikatjamin RM500 sudah mencukupi.
Rozina juga memutuskan bahawa mereka tidak perlu menyerahkan dokumen perjalanan masing-masing.