Seperti yang dijangkakan, kumpulan pro-Aspirasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya kampus semalam apabila memenangi 35 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, prestasi kumpulan itu - kini dikenali sebagai Evolusi Mahasiswa - tercalar sedikit apabila musuh tradisi mereka, pro-Mahasiswa berjaya menambah bilangan kerusi, dari lapan kepada 10 kerusi.
Tahun lalu, pro-Mahasiswa meletakkan 15 calon sahaja. Tahun ini, kumpulan itu menambah sebelas lagi calon, menjadikan kesemuanya 26 calon bagi bertanding kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan. Evolusi Mahasiswa bertanding di semua kerusi.
Exco perhubungan luar pro-Mahasiswa, Lee Long Hui memberitahu Malaysiakini, keputusan pilihanraya kampus itu diumumkan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan apabila proses pengiraan undi tamat kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Menurutnya, proses pengiraan itu bermula 30 minit selepas tempoh pengundian tamat pada jam 5 petang di dua tempat.
Pengiraan kerusi umum dijalankan di Dewan Sultan Iskandar manakala kerusi fakulti pula dikira di semua fakulti tempat pengundian dijalankan.
Ketika diminta mengulas keputusan pilihanraya kampus itu, Lee berkata, pihaknya berpuas hati kerana "keputusan itu memang telah dijangkakan".
'Kempen sama bagus'
Lee bagaimanapun menafikan bahawa calon mereka kurang berkualiti, sebaliknya "kurang kuantiti".
Katanya, berdasarkan keputusan dan penyertaan calon - walaupun kalah pro-Mahasiswa kalah - namun ada peningkatan berbanding tahun lalu.
Keputusan juga didakwa tidak dipengaruhi kempen kerana kempen "kedua-dua pihak sama bagus".
Minggu lalu, Evolusi Mahasiswa di UTM memenangi enam kerusi tanpa bertanding selepas selesai proses pencalonan bagi pilihanraya kampus di universiti tersebut di Skudai, Johor.
Ini ekoran kegagalan kumpulan Pro-Mahasiswa - yang dianggap sebagai anti-establishment - mengemukakan calon mereka bertanding di kerusi terbabit.
UTM mengadakan pilihanraya kampusnya semalam - dengan tempoh berkempen ditetapkan selama lima hari, mulai 8 Januari lalu.
Seramai 85 calon bertanding merebut 45 kerusi - iaitu 30 kerusi fakulti, 10 kerusi umum serta lima lagi kerusi di kampus Kuala Lumpur.