Menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu, satu kajiselidik pendapat umum yang dijalankan, mendapati pengundi lebih mengutamakan kualiti calon daripada lain-lain faktor seperti isu dan parti-parti yang bertanding.
Kajiselidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre for Opinion Research, mendapat 77 peratus pengundi menyatakan kualiti calon 'amat penting, berbanding dengan 55 peratus bagi isu semasa dan 67 preatus bagi kemampuan parti.
"Memandangkan perkembangan yang melibatkan pemilihan tokoh-tokoh yang bertanding, kajiselidik ini mendapati pengundi lebih cenderung untuk mempertimbangkan kualiti calon daripada faktor-faktor lain seperti isu semasa, parti-parti yang bertanding atau pemimpin-pemimpin parti," kata Merdeka Center dalam satu kenyataan hari ini.
Manakala di kalangan responden Cina pula, isu layanan adil bagi kaum bukan Bumiputera mendapat perhatian tinggi di mana 75 peratus daripada mereka 'amat bersetuju' atau 'agak setuju' bahawa dengan memilih calon bukan BN, masyarakat Cina akan dapat memberi isyarat jelas kepada kerajaan BN.
Kajiselidik tersebut dijalankan Merdeka Center pada 7 hingga 11 Januarai lalu, bagi mengenalpasti persepsi isu-isu semasa dan perkembangan dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Dalam satu soalan lain, 56 peratus responden Cina dan 46 peratus responden Melayu bersetuju bahawa dengan mengundi pembangkang ia dapat mendesak kerajaan BN untuk 'berubah kepada kebaikan'.
Isu Hudud hanya mendapat perhatian satu setengah pengundi Cina di Kuala Terengganu. Hanya 18 peratus pengundi Cina yang ditemubual menyatakan isu tersebut memainkan peranan 'amat penting' dan 32% 'agak penting dalam pilihanraya kecil ini.
Kajiselidik itu juga mendapati isu mengenai ancaman terhadap kuasa politik Melayu tidak begitu mendapat perhatian di kawasan majoriti Melayu ini.
Hanya 17 peratus bersetuju bahawa 'selepas Mac 2008, kuasa politik orang Melayu menjadi lemah kerana diancam oleh orang bukan Melayu' manakala 74 peratus merasakan 'kelemahan kuasa politik Melayu sebenarnya disebabkan oleh pemimpin yang rasuah dan mementingkan kepentingan peribadi'.
Kajiselidik itu bagaimanapun mendapati sukar untuk mengenalpasti kecenderungan parti yang akan dipilih pengundi.
Sokongan pengundi
"Berdasarkan data yang diperolehi, kajiselidik menunjukkan undi Melayu pada waktu kajiselidik dijalankan terbahagi kepada dua dengan margin kecil yakin 8 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan," kata Merdeka Center.
"Kecenderungan undi di kalangan pengundi Cina juga sukar dibaca tetapi penilaian terhadap respon yang diberikan kepada isu-isu menunjukkan mereka sedikit cenderung ke arah pembangkang," kata kenyataan itu lagi.
Kajiselidik itu juga mendapati terdapat perbezaan pendapat di antara pengundi Melayu dan Cina mengenai halatuju negara dan negeri Terengganu serta juga isu-isu semasa.
Kajiselidik itu turut mendapati pengundi di kawasan majoriti Melayu ini merasakan keadaan di dalam negara dan negeri Terengganu menuju ke arah yang betul.
Namun begitu, sentimen pengundi Cina mengenai halatuju negara adalah kurang positif di mana hanya 36 peratus responden Cina menyatakan 'halatuju betul'dan 50% menyatakan 'halatuju betul' bagi negeri Terengganu.
Pada masa yang sama, 70% pengundi Melayu menyatakan 'halatuju betul' bagi negeri Terengganu.
Isu-isu semasa
Apabila responden ditanya mengenai perkara-perkara yang patut dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu, responden memilih 'menangani kenaikan harga barang' (21%), 'memartabatkan Islam' (26%) dan 'membawa pembangunan' (16%) sebagai perkara paling penting.
Di kalangan pengundi Cina, 53% ingin pihak kerajaan negeri 'melayan orang bukan Melayu dengan adil' dan 18% memilih isu 'membanteras rasuah'.
Menurut Merrdeka Center , 527 pengundi berdaftar Kuala Terengganu - melibatkan 408 Melayu dan 119 Cina - telah ditemubual melalui telefon.
Responden dipilih mengikut random stratified sampling mengikut kaum, jantina dan kawasan dewan undangan negeri (DUN). Kajiselidik ini dibiayai sendiri oleh Merdeka Center for Opinion Research untuk hebahan umum.