Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menyatakan kekecewaan mereka terhadap cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani aduan rasuah dan penyelewengan yang didakwanya berlaku dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama.

Pengerusinya Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, dalam pertemuan kali kedua Gerak bersama dua pengadu, dengan SPRM semalam, suruhanjaya itu telah meminta salinan asal dokumen bukti tanpa memberi jaminan konkrit ianya akan dipulangkan.

Rabu lalu, Gerak bersama tiga pengadu menemui SPRM untuk menyerahkan bukti-bukti dakwaan berlaku rasuah dan penyelewengan dalam GLC berkenaan yang didakwa melibatkan jutaan ringgit.

Dalam pertemuan pertama itu, mereka turut menyerahkan salinan dokumen yang dijilid kemas dalam bentuk dua buah buku – satu setebal lebih 300 mukasurat, sebuah lagi 150 mukasurat – bagi menyokong dakwaan mereka

Berikutan itu, mereka diminta hadir sekali lagi semalam untuk bertemu dengan pengarah bahagian siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdul.

Bagaimanapun, kata Nazree, Shukri tidak hadir. Sebaliknya pegawai yang sama - yang menemui mereka pada hari Rabu lalu - sekali lagi menemui semalam.

Katanya, pegawai berkenaan meminta mereka supaya menyerahkan dokumen asal bukti-bukti berhubung dakwaan terhadap GLC berkenaan.

Bagaimanapun, kata Nazree, permintaan tersebut menimbulkan kebimbangan pengadu kerana dikhuatiri bahan bukti yang telah disimpan dengan baik selama 15 tahun itu, akan hilang daripada tangan mereka.

Salinan dokumen

"(Amalan itu) pelik dan aneh. Dokumen bukti sepatutnya dirujuk sekadarnya. Bukan ambil sebagai hak yang mutlak hingga menyebabkan pengadu tidak ada lagi bukti," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Berikutan itu, kata Nazree, setelah berbincang dengan pengadu, mereka hanya bersetuju menyerahkan salinan dokumen asal yang telah disahkan oleh pesuruhjaya sumpah minggu depan.

Amalan itu menurutnya, memadai kerana di mahkamah juga, dokumen yang disahkan oleh pesuruhjaya sumpah boleh diterima pakai.

Nazree berkata, Gerak juga kecewa kerana kunjungan mereka pada hari kedua ke suruhanjaya itu gagal menemui Shukri, sedangkan pertemuan itu dicadangkan pegawai di bahagian itu sendiri.

Selain itu, kata Nazree, pengadu juga dimaklumkan bahawa mereka tidak boleh bertanya lanjut perkembangan siasatan kes berprofil tinggi itu.

Ditanya tindakan lanjut Gerak jika siasatan SPRM tidak memberangsangkan, katanya, mereka memberikan tempoh dua hingga empat minggu atau kes itu akan dilaporkan pula kepada pihak polis.

"Dan kalau sehingga Mac ini tidak ada perkembangan juga, kita akan dedahkan di media," katanya.

Beliau berharap tindakan kerajaan menaiktarafkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada sebuah suruhanjaya, harus juga diaplikasikan dengan berkesan, "bukan sekadar tukar kulit dan nama sahaja".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS