Tindakan Universiti Islam Antarangsa (UIA) mengubah tarikh pilihanraya kampus di universiti itu secara tiba-tiba, didakwa menimbulkan kekeliruan dan tandatanya di kalangan mahasiswa.
"Saya tidak nampak relevennya tindakan itu dibuat. Hari ini naik notis (tarikh pilihanraya), esok tarik balik," kata jurucakap kumpulan Pro-Mahasiswa UIA, Ahmad Nor Muslim.
UIA dijadualkan mengadakan pilihanraya kampus 15 Januari ini tetapi tarikh itu dipinda mengejut ke tarikh baru - 19 Januari.
Ketika Dihubungi Malaysiakini Ahmad berkata, notis pertama memaklumkan butiran pilihanraya kampus dibuat pada Isnin lalu.
Namun, tambahnya, sehari selepas itu, notis yang beredar di seluruh fakulti di universiti itu telah dicabut kembali daripada papan kenyataan.
Dalam notis pertama, mahasiswa UIA dimaklumkan bahawa universiti itu akan melangsungkan pilihanraya kampusnya pada 15 Januari.
Borang pencalonan
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari - tiga hari sebelumnya.
Menurut Ahmad lagi, notis itu turut menyebut, borang penamaan calon dikeluarkan pada hari Selasa dan Rabu lepas.
Namun, tambah Ahmad, pada hari berkenaan kumpulan pelajar yang datang ke pejabat untuk mengambil borang tersebut terkejut apabila pertukaran tarikh itu dimaklumkan kepada mereka secara lisan.
"Tindakan ini (boleh) disifatkan sebagai mempermainkan hak mahasiswa yang sepatutnya diberikan hak memilih dan dipilih melalui proses pilihanraya kampus yang telus dan adil," kata Ahmad.
Menurutnya lagi, notis rasmi memaklumkan tarikh baru pilihanraya kampus hanya dikeluarkan kelmarin.
Notis kedua yang dikeluarkan pula didakwa tiada mempunyai cop pejabat HEP menyebabkan teka-teki tarikh sebenar pilihanraya terus berlegar di minda kumpulan mahasiswa.
Musuh tradisi
Kedua-dua notis tersebut ditandangangi Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Datuk Hamidon Abd Hamid.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat timbalan rektor dan dimaklum bahawa ia adalah tulen.
Mengulas cabaran Pro-Mahasiswa yang menang besar dalam pilihanraya universiti itu tahun lalu, Ahmad berkata, cabaran pilihanraya kampus kali ini dijangka sengit.
Selain musuh tradisi, Pro-Aspirasi yang cenderung kepada kerajaan, dijangkakan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) akan mengemukakan calon sendiri - seterusnya mencetuskan pertandingang tiga penjuru di beberapa kawasan fakulti.
Di UIA hari ini, pihak yang bertanding dijadual mengambil borang pencalonan mereka bagi hari kedua bagi membentuk Majlis Perwakilan Pelajarnya (MPP) yang dibubarkan empat bulan lalu.
Pilihanraya kampus di UIA kali ini akan menyaksikan perebutan 29 kerusi - 24 kerusi fakulti, lima kerusi antarabangsa.