Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, Kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara adalah mengelirukan.
"Kenyataan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak perlu menolak hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam adalah bertentangan dengan hasrat PAS yang mengakui mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
"Ini memang menjadi pendirian PAS sejak ditubuhkan sepertimana dicerminkan dalam kenyataan oleh bekas dan pemimpin PAS sekarang," katanya dalam kenyataan di ibunegara, lapor Bernama
Karpal Singh menegaskan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, dipetik dalam laporan berita pada 23 Disember tahun lalu sebagai berkata: "Saya tidak nampak kenapa mereka (iaitu orang bukan Islam) tidak dapat menerima hukum hudud yang tidak berbeza daripada undang-undang Barat".
Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata untuk hukum hudud diguna pakai, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.
"Adalah penting untuk Anwar mengetahui apakah niat sebenar PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.
"Mungkin Presiden PAS (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang patut memberikan penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam sekiranya PAS berjaya menubuhkan sebuah negara Islam. Demi kepentingan orang ramai, beliau patut berbuat demikian," katanya.
Karpal Singh berkata Malaysia bukan sebuah negara Islam dan kelulusan serta pelaksanaan hukum hudud adalah melanggar Perlembagaan.
Reaksi MCA
Sementara itu, jurucakap MCA Lee Wei Kiat berkata kenyataan Anwar itu memberikan ruang dan opsyen bagi memperluaskan undang-undang syariah untuk turut meliputi orang bukan Islam.
Dalam kenyataan, beliau berkata MCA membantah mana-mana pihak yang cuba mengubah undang-undang negara dan menolak pembentukan sebuah negara teokratik dan hukum hudud.
Lee, yang juga ketua Biro Informasi dan Komunikasi MCA, berkata pendirian Anwar yang menyokong hukum hudud juga bercanggah dengan slogan Pakatan Rakyat untuk mentadbir dengan adil.
Beliau juga menyelar Anwar yang menurutnya gagal menjelaskan bahawa hukum hudud dan sebuah negara Islam pasti akan memberikan impak tidak baik terhadap hak orang bukan Islam.
Isu itu jelas menunjukkan wujud perpecahan dalam pakatan pembangkang DAP, PKR dan PAS, katanya.