Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno Padang Besar menggesa calon-calon Ketua Pemuda yang bertanding agar mengambil kira suara dan pandangan akar umbi sekiranya memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.

"Perjuangan Pemuda Umno untuk bangsa, agama dan tanahair. Tetapi (jangan) bila pegang jawatan (nanti), kami dilupakan," kata ketua Pemudanya, Mohsin Yusof kepada Malaysiakini.

bm version pencalonan ketua pemuda umno mukhriz khir toyo khairy state breakdown umno youth chief 011208 Pemilihan jawatan ketua Pemuda akan berlangsung pada Mac depan yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; exco pergerakan Pemuda, Datuk Mukhriz Mahatir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Mohsin berkata, Pemuda bahagian itu berharap calon ketua Pemuda harus ikhlas dalam mengotakan apa yang dijanjikan kepada perwakilan pergerakan itu di seluruh Malaysia.

Menurutnya lagi, antara cabaran yang dihadapi oleh Pemuda hari ini ialah berhubung anak-anak muda yang sudah kehilangan akar dan semangat perjuangan Umno.

Sehubungan itu, katanya, semangat perjuangan Pemuda Umno harus diuar-uarkan kembali bagi meningkatkan semangat pergerakan tersebut.

Mohsin juga mengesahkan ketiga-tiga calon yang merebut jawatan ketua Pemuda telah menemui perwakilan-perwakilan di Perlis.

Perlis mempunyai tiga bahagian dan mengikut peraturan mesyuarat, setiap Pemuda bahagian diwajibkan menghantar empat perwakilan, termasuk ketua dan naib ketua.

Maklum balas

Menurut ketua pemuda Padang Besar itu, perjumpaan dengan 12 perwakilan itu berlangsung dalam bulan Disember lalu di tempat dan masa yang berasingan.

Pertemuan itu bertujuan untuk menerangkan misi dan visi calon yang bertanding agar perwakilan membuat penilaian terhadap calon ketua Pemuda.

Pada bulan Disember itu juga, jelas Mohsin, terdapat pertemuan kali kedua antara wakil-wakil calon dengan perwakilan bagi mendapatkan maklum balas hasil daripada pertemuan pertama.

Beliau berkata, pihaknya tidak menentukan perwakilan untuk memberi sokongan kepada calon tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Perwakilan matang untuk memilih (calon ketua Pemuda). Tidak ada usaha untuk mempengaruhi satu sama lain. Kita ada masa yang cukup (untuk membuat pilihan)," kata Mohsin.

Sehubungan itu, perwakilan bahagiannya turut memberi penilaian terhadap jentera-jentera kempen calon-calon kerana jentera kerja adalah cerminan kepada calon yang bertanding.

Politik wang

"Kita tengok tingkah laku kawan-kawan calon yang bertanding kerana mereka mencerminkan kejayaan calon. Jentera menggambarkan calon," kata Mohsin.

Mengulas berhubung politik wang berlaku dalam Umno khususnya sewaktu tiba pemilihan parti, Mohsin berkata:

"Bagi saya ia satu cubaan untuk mengelirukan perwakilan. Pemberian sumbangan dan cenderahati bukan politik wang.

"Kalau melibatkan jumlah wang yang besar, ia boleh dikatakan percubaan untuk membeli undi. Tapi kalau melibatkan sejumlah kecil, ia perkara biasa.

"Tiada garis panduan yang jelas, apa itu politik wang," kata Mohsin.

Sementara itu, 15 ahli jawatankuasa Pemuda Padang Besar akan menyertai kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, kata Mohsin.

Mereka ditugaskan untuk memantau dan berkembang perjalanan pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada 15 Januari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS