Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmi bersyukur namanya dibersihkan...
Diterbitkan:  Jan 6, 2009 4:45 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Adik Allahyarham Tan Sri Azmi Kamaruddin hari ini berkata arwah abangnya, bekas Hakim Mahkamah Agung, sebelum menghembuskan nafas terakhir, sempat memaklumkan kepadanya betapa bersyukurnya beliau atas tindakan kerajaan membersihkan namanya dari kes krisis kehakiman 1988.

Datuk Suhaimi Kamaruddin berkata tiga hari lepas, abangnya memberitahu beliau "saya bersyukur kerana nama saya telah dibersihkan sebelum saya memejamkan mata dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat membersihkan nama saya."

azmi kamaruddin Azmi, 75, meluahkan perkara itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi kerana sakit tua di Hospital Ampang. Beliau dikebumikan pada 12.30 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Islam di Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat, iaitu kampung halaman keluarganya, lapor Bernama.

Azmi (foto) adalah antara enam bekas hakim yang dipecat ketika krisis kehakiman 1988. Selain beliau ialah bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan bekas hakim kanan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.

Pada 18 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bayaran ex-gratia kepada keenam-enam bekas hakim itu.

Suhaimi, yang merupakan bekas timbalan menteri pada tahun 1980an dan juga bekas ketua pemuda Umno berkata abangnya turut melahirkan harapan agar Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi dapat mengembalikan kegemilangan sistem perundangan negara seperti di masa dahulu.

"Allahyarham telah melihat adanya "bibit-bibit perubahan ke arah itu" dan berharap Zaki dapat mengikut jejak langkah ayahnya, bekas ketua hakim negara Allahyarham Tun Azmi Mohamed yang amat dikagumi oleh abangnya, dalam melaksanakan tugas mendaulatkan sistem kehakiman negara.

"Amanat arwah itu telah saya sampaikan kepada Zaki semasa Zaki melawat arwah pagi tadi dan Zaki berjanji akan menunaikan pesanan arwah," katanya ketika berucap bagi pihak keluarga selepas solat jenazah di rumah Allahyarham di Jalan Ampang di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, bekas Ketua Polis Negara Tun Mohamed Haniff Omar, bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar serta Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS