Selain perhimpunan ala-Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu "perarakan keranda" Februari ini berhubung isu pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - akan menjadi sebuah lagi serangan Gabungan Penulis Nasional (Gapena), selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Dua Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail, kerajaan diberikan pelunag terakhir untuk tampil berunding dengan Gapena dan membuat keputusannya.
"Kalau (kerajaan) tidak endah juga, 15 Februari ini kita akan adakan satu perhimpunan besar-besaran," kata Dr Hashim kepada Malaysiakini hari ini.
Menjelaskan lanjut bentuk perhimpunan itu, Dr Hashim berkata, ahli gabungan Gapena, NGO dan penggiat bahasa dijadual berhimpun di ibu pejabat gabungan itu dekat Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum berarak ke Istana Negara, bangunan Parlimen atau balai polis.
Butiran lanjut berhubung program itu akan diputuskan kemudian, katanya.
Berbincang dengan ahli
Setiausaha Satu Gapena, Prof Madya Zainal Abidin Borhan semalam menjelaskan, gabungan itu tetap dengan pendiriannya yang mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan berhubung isu PPSMI.
Gapena bulan lalu, melalui Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein dilaporkan membuat ancaman itu sebagai kemuncak kekecewaan mereka, cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu selepas desakan demi desakan yang dibuat, tidak mendapat maklum balas sewajarnya dari kerajaan.
Perlaksaaan program itu juga didakwa jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Bagaimanapun, sehingga 31 Disember lalu - tarikh akhir yang diberikan Gapena - kerajaan tidak membuat sebarang keputusan berhubung status PPSMI.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Hashim berkata, keputusan mengadakan perarakan itu dicapai hasil perbincangan dengan ahli-ahli persatuan yang bergabung di bawahnya serta sekumpulan NGO Melayu di pejabatnya di ibukota semalam.
Kira-kira 20 tokoh bahasa dan sastera, antaranya Datuk Baharudin Zainal, Tan Sri Datuk Dr Ismail Hussein, Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan profesor madya Zainal Abidin Borhan turut hadir.
Kumpul dana
Ditanya perkembangan terkini tindakan Gapena hendak menyaman kerajaan, Dr Hashim berkata, gabungan itu sekarang dalam proses mengumpulkan dana bagi membiayai kos guaman bagi tujuan itu.
"Semalam kita berjaya kutip RM7,000. Kita buat kutipan derma kilat untuk membiaya kos perundangan (untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan)," katanya.
Bagaimanapun, tambah Dr Hashim, mereka belum memutuskan peguam manakah yang akan dipilih mewakili gabungan itu.
Selain perhimpunan itu, sebuah lagi perkumpulan 14 NGO dan dua parti politik - dikenali Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu - bercadang mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih bagi membantah PPSMI.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad semalam menyatakan kesediaanya memimpin sekretariat tersebut.
Bagaimanapun, pengerusi Yayasan Karyawan itu berkata, butiran lanjut bantahan sekretariat itu, serta jawatan rasmi beliau dalam sekretariat itu belum diputuskan.