Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin Barisan Nasional (BN), khsusunya dari Umno, melahirkan rasa keyakinan bahawa calon masing-masing mampu menang dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

muhammad muhd taib Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, walaupun dalam pilihanraya umum lalu, PAS menang di tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu, tetapi ia bukan menjadi pengukur kepada kekuatan parti pembangkang itu.

"Tiga kerusi DUN yang dimenangi PAS dalam pilihanraya lalu adalah cerita lama. Senario hari ini telah berbeza sama sekali. Tanggal 8 Mac bukan lagi pengukurnya.

"Kita menganggap pilihanraya kecil Kuala Terengganu kali ini sebagai satu kebangkitan baru Umno dan BN.

"Kebangkitan BN bermula di sini," kata Muhd Taib kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud.

Pilihanraya kecil itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid; calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut serta calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Pengurus pilihanraya, Datuk Mat Razali Kassim mengumumkan nama-nama calon yang layak bertanding selepas proses bantahan selesai pada jam 11 pagi tadi.

Protes senyap

Sebelum itu, ribuan penyokong BN dan PAS membanjiri pusat penamaan calon tersebut. Penyokong BN sejauh kira-kira 700 meter dari kediaman rasmi menteri besar di Sri Iman menuju ke stadium tersebut.

Manakala penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berarak sejauh kira-kira satu kilometer dari pejabat perhubungan PAS Kuala Terengganu ke tempat penamaan calon.

Muhd Taib yang juga pengerusi perhubungan Umno Selangor mendakwa, PAS menghadapi tamparan hebat apabila terdapat protes senyap terhadap calonnya Mohd Abdul Wahid.

"PAS berpecah kerana pemilihan calonnya. Pemuda PAS hendakkan calon lain, (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) hendak calon lain dan (Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) hendak calon lain.

"Sebalik calon BN hanya satu sahaja," kata bekas menteri besar Selangor itu.

Muhd Taib berkata, para pengundi di Kuala Terengganu sudak muak dengan janji-janji PAS, sebaliknya boleh menerima penjelasan yang dibuat oleh BN.

"BN tidak berpecah. Jentera pilihanraya bergerak mengikut perancangan yang telah bermula sejak seminggu lalu dan mendapat kerjasama dan sokongan parti komponen yang lain," tambahnya.

Kewibawaan calon BN

muhyiddin yasin muhyiddin yassin Sementara itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga yakin Wan Farid mampu mengekalkan kerusi tersebut.

Menurutnya, rakyat menyenangi kewibawaan ketua bahagian Umno Kuala Terengganu itu.

"Pengundi tempatan lebih senang dengan kewibawaan calon BN. Bagaimanapun kita tidak boleh terlalu yakin.

"Kita perlu mendekati pengundi dan jangan mengharapkan mereka mendekati kita.

"Pengundi Kuala Terengganu sudah matang. Ini dibuktikan dalam pilihanraya umum lalu," tambahnya.

shahrizat abdul jalil Manakala Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula berkata, calon BN akan mengekalkan kerusi tersebut berdasarkan sentimen dan sokongan pengundi terhadap Wan Ahmad Farid.

Faktor umur

"Pengundi Kuala Terengganu mahukan pembangunan berterusan. Rugi jika mereka tidak menyokong Wan Ahmad Farid. Beliau anak muda yang berbakat," kata Shahrizat.

idris jusoh 00 Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusoh pula berkata, peluang Wan Ahmad menang adalah cerah berdasarkan faktor kelulusan akademik dan faktor umur antara calon BN dan calon PAS yang bertanding di situ.

"Umur calon BN 46 tahun manakala calon PAS berusia 52 tahun. Jadi BN lebih muda dan lebih berwibawa...," katanya.

Tambahan pula, kata Idris, PAS adalah sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian, khususnya berhubung pejuangan mereka untuk melakasanakan hudud.

"PAS pula parti yang tidak ada pendirian. Sekali boleh sokong hudud tapi sekali lagi tidak boleh sokong hudud apabila digertak oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin," kata Idris.

Sehubungan itu, katanya, tindakan PAS tersebut mengecewakan rakyat dan membuatkan mereka hilang kepercayaan kepada parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS