Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5:34pm Blog paling popular milik mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjual ruangan iklan mulai tahun baru ini, khususnya untuk syarikat-syarikat kecil.

Kadarnya ditetapkan antara RM300 hingga RM1,000 sehari, bergantung kepada jenis dan kedudukan iklan tersebut di dalam blog.

chedet mahathir blog 020508 Pembantu khasnya Sufi Yusof memberitahu Malaysiakini hari ini, keputusan membuka iklan dibuat selepas permintaan-permintaan orang ramai.

Permintaan itu, katanya, berterusan apabila blog itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

"Keuntungan bukanlah keutamaan (kami), sebaliknya mahu memberikan pendedahan kepada syarikat-syarikat kecil. Tetapi kalau (dapat) menampung sedikit kos, bagus juga," katanya lagi.

Blog Dr Mahathir menutup tirai tahun lalu dengan rekod jumlah pengunjung sebanyak 10.9 juta – angka yang amat tinggi bagi sebuah blog yang baru tujuh bulan beroperasi.

Syarikat yang berminat boleh menempatkan iklan-iklannya di atas halaman utama blog tersebut Chedet.cc , selain di sisi kanan dan halaman dalam.

Ejen iklan blog tersebut Mutual Digital Sdn Bhd menjelaskan iklan itu boleh membantu syarikat-syarikat kecil dan menampung kos pengendalian blog paling popular itu.

Pengarahnya Wan Amril Nurman Wan Lokman menambah polisi pengiklanan di blog tersebut diputuskan oleh pejabat Dr Mahathir sendiri.

"Tetapi syarikat rokok dan alkohol tidak adalah. Itu saya pasti," katanya, diminta mengulas syarat-syarat tertentu yang dikenakan untuk menempah iklan.

Beliau juga berkata, sambutan pengiklan terhadap blog itu belum dapat dijangkakan lagi kerana masih baru.

Wan Amril Nurman menambah, walau tempahan belum penuh sehingga hujung bulan ini, tetapi permintaannya “ada dan memberangsangkan”.

Chedet.com - 'che det' adalah nama gelaran dan nama pena Dr Mahathir - yang mula dibangunkan pada Mei lalu meraih populariti mendadak sehingga muncul sebagai laman blog yang paling dicari di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS