Bagi bakal pengantin yang inginkan kelainan sempena hari perkahwinan mereka, satu pakej unik menawarkan majlis persandingan bersama sekumpulan penguin.
Majlis persandingan akan diadakan dalam tangki yang didiami haiwan itu dan pasangan pengantin turut diarak oleh sekumpulan penguin di Underwater World Langkawi (UWL).
Pada masa ini UWL mempunyai 56 penguin jenis Rockhooper dan Afrika, jelas timbalan pengurus besar UWL Azmi Mohamed Milatu kepada Bernama hari ini.
Tambahnya, sasaran UWL menarik 100,000 pengunjung dalam tempoh musim cuti persekolahan sejak pertengahan November lepas telah tercapai.
"Sejak musim cuti sekolah, waktu lawatan dilanjutkan sehingga 8.30 malam dan kita menerima kunjungan lebih 100,000 pelawat," katanya.