Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umat Islam diminta muhasabah diri...
Diterbitkan:  Dec 29, 2008 12:51 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah diri, sempena kedatangan tahun 1430H, dengan melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

tuanku abdul halim sultan of kedah "Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan," titah baginda di majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Baginda menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

"Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini (Menjana Ummah Gemilang) mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini," titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

Baginda turut menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan, titah baginda.

"Sikap tidak menghormati para ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang," titah baginda.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS