Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hudud: Samy minta Anwar nyatakan pendirian
Diterbitkan:  Dec 27, 2008 4:17 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu meminta pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya berhubung hasrat PAS untuk memperkenal hukum Hudud (Kanun Jenayah Syariah) di negara ini.

Katanya, Anwar, yang penasihat PKR, tidak sepatutnya berdiam diri dengan isu itu kerana kegagalannya menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan undang-undang itu boleh menimbulkan bantahan daripada masyarakat India di negara ini, lapor Bernama.

Katanya kini sudah timbul protes secara senyap di kalangan masyarakat India sejak Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dilaporkan sebagai berkata PAS tidak pernah melupakan matlamat mereka bagi melaksanakan undang-undang Hudud di negara ini.

"Anwar sepatutnya menjelaskan pendiriannya dan parti yang diwakilinya, terutama kepada bukan Islam yang menyokong pembangkang agar mereka dapat menilai dan membuat keputusan sama ada untuk terus menyokong pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samy Vellu berkata, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, ramai kaum India yang membawa bendera PAS tetapi "adakah ini cara PAS dan parti pembangkang yang lain menghargai mereka".

Dengan perkembangan terbaru sekarang, kata Samy Vellu, Anwar sepatutnya memberi penjelasan berhubung isu itu kerana jika tidak ia akan membuktikan bahawa Anwar dan pembangkang hanya mempermain-mainkan orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS