kemaskini 2:35pm Persatuan Penternak Babi Paya Mengkuang menjelaskan pihaknya tidak terlibat dalam insiden penggantungan kepala babi hutan di Alor Gajah, Melaka minggu lepas.
Pengerusinya Na Tian Lam, 55, berkata penggantungan kepala babi dekat bulatan Tanjung Bidara-Kuala Sungai Baru tidak ada kena-mengena dengan pengusaha- pengusaha ternakan babi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah.
Na, yang juga pembekal ternakan itu, percaya insiden penggantungan kepala babi itu dirancang dan bermotifkan politik oleh pihak-pihak tertentu.
"Itu politik punya hal, kita tak mahu masuk campur. Kita pelihara dan keluarkan babi (ternak), bukan untuk kacau orang.
"Kita cari makan, tak mahu kacau orang," kata Na ketika hubungi Malaysiakini hari ini.
Menurutnya, terdapat 38 ladang babi dengan 5,000 haiwan ternakan di Paya Mengkuang.
Sabtu lalu, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) membakar empat replika babi yang dibuat daripada kertas di perkarangan Hotel Samudera Resort Riverside, Masjid Tanah.
Tindakan tersebut sebagai membantah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggantung kepala babi hutan itu pada kain rentang NGO itu, Rabu lalu.
Kain rentang itu mempromosikan satu program anjuran Pewaris di hotel berkenaan.
Majlis membakar replika babi itu diketuai oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman dan disaksikan oleh kira-kira 800 orang.
PPIM sebuah NGO yang bergabung dalam Pewaris.
Penggantungan kepala babi minggu lepas adalah insiden yang ketiga.
Pada 18 Oktober lalu, peniaga dan pengunjung menemui bangkai kepala babi di tepian Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
Pada 13 November lalu, kepala babi dilaporkan digantung di atas pintu pagar rumah seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Masjid Tanah, Md Rawi Mahmud.
Na menambah, persatuannya tidak pernah menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak susulan insiden pembuangan dan penggantungan kepala haiwan tersebut.
"Kita berkawan baik dengan orang kampung. Hubungan kita dengan orang Melayu baik," katanya.
Beliau juga mendakwa, orang ramai yang hadir di bantahan isu tersebut terdiri orang luar dan bukannya penduduk kampung berdekatan.
Tambahnya, ada beberapa bas datang membawa mereka ke Majlis Perjumpaan Orang Melayu (Islam) anjuran Pewaris sebelum acara membakar replika binatang itu.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti jumlah kenderaan tersebut.
Seorang ahli jawatankuasa persatuan tersebut Lim Oh Pah, 53, menggesa polis menyiasat punca dan dalang sebenar yang terlibat dalam tiga insiden kepala babi.
"Selesai dengan aman. Jangan salahkan sesiapa. Haram dan berdosa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
"Jangan kerana anjing hitam makan, anjing putih yang disalahkan."
Lim, generasi keempat penternak babi, turut menyokong tindakan dikenakan kepada dalang tersebut.
Ekoran itu, beliau mendakwa sebuah parti politik Melayu cuba mencetuskan sentimen perkauman dengan memainkan isu itu.
"Isu ini kecil tapi diperbesar-besarkan. (Politik) kebencian akan timbul lagi banyak masalah.
"50 tahun merdeka, isu perkauman masih lagi ada, malulah. Isu perkauman masih belum selesai, isu itu (gantung kepala babi) mahu diperbesar-besarkan," tambah Lim yang kini tidak lagi menternak tetapi masih menjual daging ternakan itu.