Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khir Toyo, Utusan disaman RM30 juta
Diterbitkan:  Dec 23, 2008 12:33 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

dikemaskini Ahli parlimen DAP Teresa Kok menfailkan saman fitnah terhadap bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan akhbar Utusan Malaysia dengan jumlah RM30 juta berhubung kontroversi isu azan.

Exco kanan kerajaan Selangor itu menyerahkan writ saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur tengah hari ini melalui firma guaman SN Nair & Partners.

teresa kok khir toyo utusan malaysia lawsuit 231208 03 Dalam tuntutannya, ahli parlimen Seputeh (foto) mendakwa Dr Mohamad Khir memetik coretan blog 'Pembela Melayu' dan membuat tuduhan salah terhadap plaintif pada 26 Jun lalu.

Plaintif menamakan ketua pembangkang di Dewan Undang Negeri Selangor itu sebagai defendan pertama, sementara penerbit harian itu Utusan Melayu Bhd sebagai defendan kedua.

Akhbar berpengaruh itu didakwa menerbitkan kata-kata defendan pertama berhubung perkara tersebut bertajuk 'Ada usaha larang azan di masjid Selangor' pada 8 Sept lalu.

Teresa berkata tuduhan dua defendan itu tidak berasas, berniat jahat dan membawa maksud beliau bersifat perkauman, seorang ahli politik yang anti-Islam dan tidak bertolak ansur.

Plaintif juga mendakwa tuduhan kedua-dua defendan telah menyebabkan beliau ditangkap dan ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 12 Sept lepas.

Teresa memohon ganti rugi sebanyak RM30 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan atau menyebarkan kata-kata fitnah terhadap plaintif.

politik baru yb j newscut 241008 Sebelum ini Teresa telah dua kali menyaman fitnah akhbar berpengaruh itu.

Pada 12 Disember lalu, beliau menfailkan saman terhadap penulis terkenal Datuk Chamil Wariya dan akhbar itu dengan jumlah RM30 juta berhubung penerbitan cerpen 'Politik Baru YB J', Oktober lepas.

Sementara pada 9 Oktober lepas, Teresa menyaman dengan jumlah yang sama terhadap harian itu dan kolumnisnya Mohd Zaini Hassan.

Teresa mendakwa dua defendan itu telah memfitnahnya dalam 'Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang disiarkan 10 September lalu - dua hari sebelum wakil rakyat itu ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama seminggu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS