Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KT: PAS umum calon 1 Januari
Diterbitkan:  Dec 21, 2008 6:19 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

PAS akan hanya mengumumkan calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 1 Januari depan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

Pada mulanya, PAS dijangka mengumumkan nama calonnya hari ini, selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan semalam pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pada masa ini, parti itu telah menentukan calonnya itu, yang merupakan seorang profesional dan berjiwa rakyat, lapor Bernama.

"Kita sudah ada calon...dalam poket saya, Insya-Allah...tunggu 1 Januari depan (kita umumkan)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Abdul Hadi berkata calon yang akan diketengahkan oleh PAS itu merupakan seorang yang lebih layak daripada calon yang ditampilkan oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata calon PAS itu adalah individu yang mempunyai ketokohan daripada pelbagai aspek dan yakin akan dapat diterima oleh pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN.

Ditanya mengapa PAS mengambil masa yang lama untuk mengumumkan calonnya berbanding BN, Abdul Hadi berkata PAS tidak mahu terikut-ikut dengan cara BN dan tidak tergesa-gesa untuk berbuat demikian.

"Tidak lama, penamaan calon pun lambat lagi (6 Januari)," katanya dan menurutnya kelewatan pengumuman calon itu tidak akan meresahkan penyokong PAS kerana pada masa ini mereka begitu bersemangat menjalankan tanggungjawab dalam menghadapi pilihanraya kecil itu.

Abdul Hadi berkata dengan pemilihan calonnya itu, PAS yakin dapat merampas kerusi parlimen berkenaan, tambahan pula kawasan tersebut merupakan antara kubu kuat parti berkenaan.

Mengenai calon PAS sama ada penduduk setempat atau Naib Presidennya, Mohamad Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi berkata: "(Sama ada) Mat (Mohamad) Sabu, Nasharuddin atau Salahuddin...1 Januari."

Mengenai pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN, Abdul Hadi berkata perkara itu terserah kepada BN untuk menilai calon mereka sendiri.

"Kita tidak perlu komen (Wan Ahmad Farid sebagai calon), itu hak BN. Yang pasti, kita akan lawan (calon BN)," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan persiapan jentera pilihanraya PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, calon BN Allahyarham Datuk Razali Ismail menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil PAS Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong berkata pihaknya akan mencadangkan kepada PAS pusat untuk mengumumkan nama calon lebih awal.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, berkata ini bagi memudahkan jentera pilihan raya membuat perancangan serta strategi dalam usaha menarik sokongan pengundi di kawasan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS