kemaskini 7:47pm Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluangkan masa selama tiga jam petang ini bagi meninjau nasib penduduk Kampung Baru Plentong Tengah di Johor Bahru yang diarah berpindah.
Pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam bersama dua pegawainya menghabiskan masa satu jam di kampung tersebut dan selebihnya di Bukit Dagang, lokasi penempatan baru penduduk.
Selepas berbincang dengan Suhakam, penduduk bersetuju ke Biro Pengaduan Awam di Johor Bahru berhubung lokasi penempatan baru itu yang gagal menampung jumlah mereka.
Menurut penasihat jawatankuasa bertindak penduduk Syed Othman Syed Abdullah, sebanyak 10 buah rumah yang sudah dibina tiada kemudahan asas seperti jalan raya yang berlopak dan ketiadaan bekalan air dan elektrik.
Aduan tersebut dijangka dibuat pada 9.30 pagi esok.
Pada jam 3 petang pula, sekumpulan penduduk akan mengiringi pesuruhjaya Suhakam berjumpa dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Perjumpaan tertutup antara suruhanjaya itu dengan Abdul Ghani antara lain membangkitkan isu pampasan yang sewajarnya kepada penduduk daripada kerajaan Johor.
Mereka juga memohon bantuan persediaan untuk anak-anak ke sekolah memandangkan sesi persekolahan tahun baru akan bermula dua minggu lagi.
Kata Syed Othman lagi, penduduk kampung juga menuntut agar kesemua 410 keluarga di Plentong Tengah ditempatkan di Bukit Dagang apabila projek perumahan di situ dibina kelak.
Sementara di kampung setinggan berkenaan, kerja-kerja perobohan dihentikan kira-kira jam 4.30 petang tadi setelah 14 buah diruntuhkan hari ini.
Syarikat pemaju Bukit Lenang Development Sdn Bhd pada asalnya merancang meranapkan 290 kediaman di situ bermula pagi tadi yang dimiliki oleh penduduk yang enggan menerima akujanji di mahkamah, hujung Oktober lepas.
Bagaimanapun selepas berunding dengan penduduk, sewaktu pemaju memulakan kerja-kerja perobohan, syarikat berkenaan bersedia meruntuhkan 150 buah kosong.
Rumah-rumah yang masih berpenghuni dikehendaki berpindah hujung bulan ini bersama 120 pemilik lagi yang bersetuju menerima akujanji dengan pemaju.
Kerja-kerja perobohan bersambung esok pagi dan dijangkakan ia mengambil masa selama seminggu, tambah Syed Othman.
Pada 16 Oktober lalu (foto kanan) , kira-kira 20 rumah di kampung tersebut yang tidak berpenghuni dirobohkan dalam operasi yang dilancarkan pihak pemaju.
Dalam operasi tersebut, 27 penduduk serta aktivis ditahan kerana cuba menghalang kerja perobohan rumah di situ.
Mereka bagaimana telah dibebaskan pada hari yang sama dengan ikat jamin.