Tiga calon jawatan timbalan presiden Umno dilihat mempunyai peluang yang sama rata untuk menang kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan strategi tersendiri.
Mereka ialah dua naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Muhyiddin mendapat pencalonan terbanyak iaitu 90 diikuti Mohd Ali 49 dan Muhd Taib 46.
Sementara bagi jawatan naib presiden, lapan calon sudah layak bertanding. Mereka ialah Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Jamaluddin Jarjis, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Syed Hamid Albar.
Seorang pegawai Mohd Ali ketika dihubungi berkata, walaupun ada calon yang mungkin nampak hebat tetapi kata putus ditentukan oleh perwakilan.
“Masing-masing sedang berkempen dengan menggunakan strategi dan pendekatan tersendiri untuk dinilai dan ditentukan oleh perwakilan.
“Kita tidak boleh menentukan pemenangnya, jadi tidak perlu risau kerana perwakilan yang memilih siapa yang dikehendakinya,” katanya.
Pilihan perwakilan
Manakala, penyokong Muhyiddin pula berkata, menteri perdagangan dan perindustrian itu kekal sebagai calon pilihan untuk memenangi jawatan timbalan presiden Umno.
Katanya, ianya berdasarkan jumlah pencalonan yang diterimanya dari mesyuarat bahagian.
“Momentum ini kekal sehingga sekarang kerana ia adalah kehendak akar umbi ahli dan perwakilan Umno,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, calon yang mempunyai kebolehan dan mampu memulihkan parti akan dipilih oleh perwakilan.
Katanya, kini perwakilan sudah pandai membuat pilihan dan menilai terhadap kualiti pemimpin parti.
“Banyak mana sekalipun berkempen jika orang tidak suka, mereka tidak akan pilih.
“Jadi janganlah pilih semata-mata mereka yang bijak berkempen tetapi hendaklah yang berkebolehan, boleh memulihkan parti dan mampumemperkuatkan orang Melayu,” katanya.