Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasuah: Sidang Dewan Rakyat panas
Diterbitkan:  Dec 16, 2008 12:36 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Persidangan Dewan Rakyat hari ini menjadi panas seketika apabila seorang penyokong kerajaan bertikam lidah dengan wakil pembangkang berhubung dakwaan rasuah.

Ia berlaku berikutan kenyataan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) bahawa tidak ada seorangpun, termasuk pembangkang, yang tidak terlibat dengan gejala rasuah.

Dakwaan Ismail ketika sedang membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 itu menimbulkan kemarahan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang bangun dan meminta Ismail memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu, lapor Bernama.

"Cuba jelaskan...ini bukan masa untuk menuduh," kata Chong Eng.

Ismail mempertahankan dakwaannya serta meminta anggota pembangkang itu supaya duduk.

"Ini masa saya berbahas...duduk, duduk," katanya Ismail sehingga memaksa Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan kedua-duanya menamatkan perang mulut dan meneruskan sesi perbahasan.

Pertikaman lidah hampir lima minit itu turut disertai beberapa anggota parlimen pembangkang yang lain tetapi suasana panas itu dapat dihentikan oleh Wan Junaidi.

"Cukuplah Yang Berhormat. Tadi waktu (Anggota Parlimen) Batu (Tian Chua) bahas, sebelah sini (Barisan Nasional) tidak mengganggu pun...Biar Maran (Ismail) buat penjelasan," kata Wan Junaidi yang meminta Ismail menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya tadi.

Ismail berkata beliau tidak bermaksud menuduh mana-mana pihak.

"Saya tidak menuduh mana-mana parti. Masalah rasuah ini bukan masalah Barisan Nasional sahaja malah dunia. Rasuah ini melibat semua pihak tak kira ahli politik, swasta atau orang kampung," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS