Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Kajang memutuskan untuk membenarkan 28 penunggang basikal yang berusia di bawah 18 tahun, untuk meneruskan kayuhan kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan".

Pada awalnya, pihak polis mengarahkan mereka - yang memulakan kayuhan di Johor - supaya melaporkan diri di balai polis Bangi.

jerit cycling campaign 071208 cylist cycle onto town

Menurut penganjurnya - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) - pihak polis mahu menyemak butiran diri mereka dan memastikan sekiranya penyertaan mereka dibenarkan oleh ibu bapa masing-masing.

Sebahagian pengayuh terbabit berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Kumpulan kedua seramai 63 penunggang basikal dari Utara, ditahan di satu sekatan jalanraya di pekan Rawang pada kira-kira jam 5 petang.

Pada mulanya, polis meminta empat daripada pihak penganjur dan tujuh penunggang basikal yang menaiki bas yang mengiringi mereka, ke balai polis untuk disoalsiasat, kata seorang penyelaras Jerit.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, kesemua penunggang basikal itu dibawa ke balai polis Rawang untuk memberi kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nie dan ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar berada di balai polis berkenaan untuk memberi sebarang bantuan yang diperlukan.

Kumpulan tersebut telah sampai ke peringkat terakhir kayuhan mereka selama 16 hari ke seluruh negara.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka berdepan dengan berbagai cabaran dan halangan termasuk ditahan serta beberapa basikal mereka telah dibakar.

Suaram pula berkata, kumpulan dari arah Selatan, telah memulakan pengayuhan mereka dari estet Denudin menuju ke estet Bangi Lama pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam perjalanan, mereka disekat oleh pihak polis di estet Bangi Lama pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Suaram mengutuk tindakan polis itu dan menuntut supaya kumpulan itu dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Ahli sekretariat Jerit, K Bawani, ketika dihubungi berkata, pihak polis menunggu di pintu masuk estet tersebut, kerana mereka tidak boleh masuk ke kawasan persendirian.

Katanya, sebuah van polis mengekori penunggang basikal berkenaan sepanjang jalan dari Johor, manakala 14 kenderaan polis "mengiringi" mereka apabila mereka tiba di Semenyih semalam.

"Mereka (polis) mengekori kami sepanjang jalan tetapi mereka tidak membuat sebarang tangkapan hingga sekarang... kami sedang berunding dengan pihak polis dan telah meminta mereka supaya membenarkan penunggang basikal makan tengahari sebelum pergi ke balai polis," katanya pada kira-kira jam 1 tengahari.

Makan tengahari

Penyelaras Jerit, S Arutchelvan berkata pihak polis kemudiannya berlembut dan membenarkan penunggang basikal itu makan tengahari, sementara menunggu ketibaan ibubapa mereka.

Jerit telah menghantar beberapa peguam ke estet Bangi Lama.

Pada jam 3 petang, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mengesyaki pihak berkuasa merancang untuk mendakwa mereka yang terbabit dalam kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" di bawah Akta Kanak-kanak, kerana membabitkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Bon juga berkata, pihak polis bertegas bahawa mereka tidak menahan penunggang basikal tersebut.

"Polis berkata, mereka mahu membawa kanak-kanak ke balai polis untuk siasatan sama ada mereka telah mendapat kebenaran ibu bapa masing-masing untuk menyertai kempen tersebut dan mengapa mereka menyertai ekspedisi itu," katanya.

"Pertama mereka berkata, ianya satu tangkapan, selepas itu pula berkata, ia bukan satu tangkapan dan mereka hanya mahu mengambil butiran mereka dan menyemak sama ada mereka mendapat kebenaran... tetapi jika ianya bukan satu tangkapan, maka penunggang basikal itu tidak wajib pergi ke balai polis."

Dua kumpulan penunggang basikal itu memulakan pengayuhan serentah dari Kedah dan Johor pada 3 Disember lalu untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu-isu seperti kekurangan makanan, masalah alam sekitar, mengenai undang-undang yang kejam dan krisis ekonomi yang bakal dihadapi.

Mereka dijadual tiba di Kuala Lumpur pada hari Khamis untuk mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen.

Jerit pula menuduh pihak polis mengganggu mereka dan mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung perkara itu.

jerit ride for change events 151208

ADS