Seorang remaja perempuan nyaris tercekik apabila beliau tertelan kaca yang terkandung di dalam coklat yang dimakan di rumahnya di Damansara Damai dekat sini semalam.
Mangsa Nurul Huda Megat Ahmad, 17, berkata kejadian pada pukul 8 malam itu bermula apabila tekaknya terasa pedih dan sakit selepas beliau memakan sebungkus daripada sepaket coklat yang dibeli di sebuah pasaraya berhampiran rumahnya, Sabtu lepas.
"Mula-mula makan (coklat), saya terasa sesuatu benda asing seperti pasir namun saya tetap juga makan coklat tersebut.
"Apabila tekak saya terasa sakit, saya tengok kembali baki coklat yang ada dan tak sangka ada kaca yang panjangnya bersaiz ibu jari dalam bungkusan coklat itu," katanya, lapor Bernama , di Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Setelah menyedari beliau tertelan serpihan kaca, Nurul Huda yang ditemani bapanya kemudiannya bergegas ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
Bapa mangsa Megat Ahmad Megat Khalid, 55, berkata beliau dan anaknya ke klinik berhampiran pada pukul 10.30 malam untuk mendapatkan rawatan.
"Doktor klinik itu kemudian menyuruh kami ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan susulan apabila pemeriksaan X-Ray mendapati ada 'sesuatu' di tekak anak saya.
"Bagaimanapun, serpihan kaca itu telah masuk ke dalam (perut) Nurul Huda dan hanya akan keluar apabila dia membuang air besar," Megat Ahmad dipetik berkata.
Megat Ahmad berkata tekak Nurul Huda kini sudah mula pulih dan beliau berharap serpihan kaca itu tidak akan mengganggu sistem saluran usus anaknya.
Katanya beliau telah membuat laporan polis dan akan membuat keputusan kemudian sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Saya telah buat dua laporan polis, satu di balai polis Sungai Buloh awal pagi tadi dan satu lagi di pondok polis Hospital Sungai Buloh pukul 12.30 tengah hari ini.
"Sebagai pengguna saya nak perkara ini disiasat agar tiada pihak lain yang menjadi mangsa," kata Megat Ahmad, lapor agensi berita itu lagi.
Ketua polis daerah Gombak ACP Rahim Abdullah mengesahkan laporan tersebut.