dikemaskini Exco kanan kerajaan Selangor menfailkan saman terhadap seorang penulis terkenal dan Utusan Malaysia dengan jumlah RM30 juta berhubung penerbitan cerpen 'Politik Baru YB J', Oktober lepas.
Teresa, yang juga ahli parlimen Seputeh, menamakan penulis karya itu Datuk Chamil Wariya sebagai defendan pertama dan penerbitnya Utusan Melayu Bhd sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, ahli politik popular itu mendakwa kandungan cerpen itu menggambarkan dirinya seorang yang bersifat perkauman, taksub agama dan kaum, tidak boleh dipercayai dan ahli politik yang tidak baik.
Beliau mendakwa karya itu yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia pada 12 Oktober lepas bertajuk 'Politik Baru YB J' juga menggambarkan yang dirinya seorang ahli politik cauvinis yang anti-Islam dan anti-Melayu.
Plaintif mendakwa cara beliau digambarkan dalam artikel itu sebagai tidak berasas, tidak benar, cuai dan lalai.
Cerpen itu didakwa ditulis dengan niat jahat untuk menimbulkan kebencian terhadap dirinya di mata masyarakat.
Selain ganti rugi am RM30 juta, Teresa juga menuntut ganti
rugi tambahan dan teladan.
Beliau juga menuntut perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan, bercakap atau menerbitkan semula kandungan serupa atau perkataan memfitnah terhadap plaintif.
Writ saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur melalui firma guaman SN Nair & Partners.
Cerpen itu menceritakan pembunuhan terhadap seorang ahli parlimen wanita Cina bernama Josephine - ditembak oleh penyokongnya sendiri di atas pentas di sebuah program untuk anak muda Cina.
Karya itu disiarkan beberapa hari selepas Teresa (foto kiri) menfailkan saman lain dengan tuntutan RM30 juta terhadap akhbar tersebut dan editor kanannya Mohd Zaini Hassan berhubung artikelnya tentang azan .
Teresa mendakwa akhbar itu dan Mohd Zaini telah memfitnahnya dalam 'Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang disiarkan 10 September lalu - dua hari sebelum wakil rakyat itu ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama seminggu.