Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kian ramai menganggur tahun depan
Diterbitkan:  Dec 10, 2008 11:09 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Kadar pengangguran tahun depan mungkin meningkat kepada 4.5 peratus berbanding kira-kira 3.5 peratus tahun ini akibat kelembapan ekonomi dunia sekarang, demikian analisis Institut Penyelidikan

Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah eksekutifnya Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, dalam suku ketiga tahun ini, rakyat Malaysia yang menganggur berjumlah 12,000 orang.

"Bilangan penganggur semakin meningkat. Kita perlu mengawasinya dengan teliti," katanya dalam ucaptamanya pada majlis dialog dengan Profesor Robert Engle, yang memenangi Hadiah Nobel bagi ekonomi pada 2003.

Menurut Bernama , Mohamed Ariff berkata kadar 4.5 peratus dianggap tinggi bagi Malaysia.

"Tinggi sebab kita biasa dengan kadar 2.2 dan 2.5 peratus tetapi jika

dibandingkan dengan Eropah, Jepun dan Amerika Utara, 4.5 peratus amat rendah," katanya.

Mohamed Ariff berkata industri pembuatan dijangka paling teruk terjejas oleh kelembapan ekonomi ini.

"Kita rasa sektor elektrik dan elektronik khususnya, amat mudah

terjejas.

"Barangkali sokongan utama bagi ekonomi adalah daripada sektor

perkhidmatan. Ia bakal menjadi jentera pertumbuhan, dan membantu kita mengelakkan kemelesetan sebenar tahun depan," beliau dipetik berkata.

Menurut Mohamed Ariff lagi, Malaysia berdepan kemungkinan 40 peratus terjerumus dalam kancah kemelesetan teknikal tahun depan dan 30 peratus kemungkinan dilanda kemelesetan sebenar.

"Tetapi ini di bawah 50 peratus. Ia sekarang bergantung kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan," katanya, sambil menambah bahawa lebih banyak langkah harus diambil untuk mengharungi krisis kewangan sekarang.

Pada majlis dialog itu, Engle berkata Malaysia mungkin menghadapi tempoh yang sukar seperti juga ekonomi-ekonomi lain di Asia, lapor agensi berita itu lagi.

"Kita harap China akan dapat bertahan. Jika China juga bergelut (dengan krisis ekonomi semasa), ekonomi-ekonomi lain di Asia turut akan berdepan dengan tempoh yang sukar," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS