Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menafikan kenaikan mendadak harga lesen pasar malam dan pasar pagi kepada RM288 setahun yang akan berkuatkuasa 1 Januari ini membebankan 5,000 peniaga kecil.

Timbalan yang dipertuanya Jamri Basni berkata, harga lesen terbaru itu – daripada RM22 setahun – bertujuan menyeragamkan pengurusan hampir 12,000 petak perniagaan dalam kawasan Selayang dan Rawang.

Amalan selama ini yang turut melibatkan pengelola setempat – termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan BN – lebih membebankan penjaja, tambahnya.

"(Amalan) sekarang, hendak dapat tapak pun kena banyar antara RM200 hingga RM2,000," katanya.

Selepas mendapat tapak daripada pengelola, peniaga membayar lesen perniagaan kepada MPS, selain caj kutipan sampah dan kawalan lalu lintas antara RM2 hingga RM10 yang ditetapkan pengelola.

Mulai tahun depan, MPS mentadbir secara langsung aktiviti perniagaan kecil ini tanpa pembabitan pengelola.

Menurut notis pemberitahuan yang diedarkan hujung bulan lepas, peniaga yang berminat dikehendaki membuat permohonan baru kepada MPS dan diberi pilihan membuat bayaran penuh setahun atau setiap enam bulan.

Jasni menambah, peniaga pasar malam juga dikenakan bayaran RM10 untuk setiap penjaja dan pembantu untuk memproses kad pengenalan diri.

"Bayaran ini termasuk semua, tidak perlu lagi buat bayaran lain," katanya, sambil menambah, kadar baru ini telus dan seragam untuk semua peniaga.

Jasni turut menafikan kenaikan harga lesen pasar malam dan pasar pagi itu untuk menampung kenaikan elaun ahli majlisnya, juga berkuatkuasa tahun depan.

Setiap ahli majlis MPS dilaporkan akan menerima elaun bulanan sehingga RM2,500 sebulan, kenaikan besar daripada RM750, bagi menampung bayaran pejabat dan gaji kakitangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS