Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yazid, radikal JI bebas dari Kamunting
Diterbitkan:  Dec 10, 2008 4:01 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Lebih 10 anggota kumpulan radikal yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiah (JI) termasuk Yazid Sufaat - didakwa terlibat dalam peristiwa 11 September - dibebaskan daripada kurungan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting.

yazid sufaat sept 11 terror suspect 101208 01 Nama Yazid muncul sewaktu perbicaraan Zacarias Moussaoui, warga Perancis yang didapati bersalah berkonspirasi dalam pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 2001.

Harian Singapura The Straits Times hari ini dilaporkan memetik seorang pegawai Malaysia yang menyatakan anggota-anggota jaringan JI di kem Kamunting warga Indonesia dan Filipina turut dibebaskan sejak sebulan lepas.

Mereka dibebaskan selepas didapati tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan, laporan itu dipetik.

Pegawai kanan itu berkata mereka yang dibebaskan itu telah insaf selepas menjalani pemulihan di kem di Taiping itu.

Yazid, yang ditahan pada Disember tujuh tahun lepas, telah menunjukkan "peningkatan besar", kata pegawai itu lagi tanpa mengulas lanjut.

Bekas kapten tentera berusia 43 tahun itu antara radikal yang paling popular dikaitkan dengan JI dan serangan dua menara di Amerika Syarikat itu.

terrorist militant gunmen Suspek anggota-anggota JI negara ini, Indonesia dan Filipina yang ditahan ISA dikaitkan dengan beberapa serangan bom di republik itu dan perjuangan gerila Islam di Mindanao.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hanya menyebut enam tahanan ISA, termasuk Yazid dan dua anggota JI dibebaskan baru-baru ini, lapor Bernama .

Katanya, lima orang dibebaskan 4 Disember lepas iaitu dua warga Thailand yang dituduh anggota kumpulan pemisah dan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang anggota JI.

Yazid dibebaskan bulan lepas, kata Syed Hamid.

"Kerajaan bersikap, kalau tahanan tidak menjadi ancaman kepada masyarakat, dia akan dibebaskan selepas dipulihkan dan seterusnya boleh dikembalikan kepada masyarakat," katanya di lobi Parlimen.

Menurut agensi berita itu lagi, Syed Hamid berkata sejak beliau memegang Kementerian Dalam Negeri, jumlah 75 tahanan akta kontroversi itu sudah menurun kepada 46 orang.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 16 anggota kumpulan militan JI, 13 orang dari kumpulan Darul Islam, 10 orang kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen kad pengenalan dan pasport, lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dan dua individu yang bekerja dengan agensi perisikan asing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS