Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat mangsa dilayan buruk
Diterbitkan:  Dec 9, 2008 12:14 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Polis menyiasat dakwaan suami seorang mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mendakwa menerima layanan buruk daripada pasukan keselamatan ketika meminta menyelamatkan isterinya.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis telah menghubungi suami kepada mendiang Eng Yee Peng, 30, untuk tampil ke pusat operasi SAR bagi membantu siasatan, lapor Bernama .

landslide bkt antarabangsa perdana car Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan suami mangsa mendakwa beliau diberi cangkul oleh pasukan penyelamat dan memintanya mencari isterinya sendiri.

"Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan semalam pihak polis telah menghubungi suami mangsa. Tetapi beliau tidak memberi sebarang jawapan, mungkin beliau masih berkabung.

"Bagaimanapun saya jamin siasatan terperinci akan dilakukan berhubung dakwaan ini. Kita ingin tahu siapakah individu yang sebenarnya berbuat demikian," beliau dipetik berkata hari ini.

Beliau berkata sehingga kini tiada laporan polis yang dibuat oleh suami mangsa itu berhubung perkara itu dan ini tidak bermakna polis tidak akan siasat dakwaan itu.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga Sri Lanka, yang dipercayai tertimbus, masih giat dijalankan.

landslide bkt antarabangsa resident walking 2 Menurut Khalid, pasukan SAR belum mendapat sebarang petunjuk daripada mesin pengesan dan unit anjing pengesan pihak bomba.

"Pasukan SAR sedang lakukan yang terbaik dan fokus kita tertumpu kepada rumah nombor satu. Setakat ini pasukan SAR telah menggali tanah sedalam lima kaki.

"Ada kemungkinan mangsa yang dipercayai tertimbus itu digelongsor ke lokasi lain. Kita teliti semua kemungkinan," katanya, lapor agensi itu lagi.

Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30-an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr N Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lepas.

Beliau berkata kerja-kerja mencari dan menyelamat berjalan lancar hari ini dengan cuaca yang baik sambil diperhatikan pakar Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) yang memberi nasihat dari semasa ke semasa.

Setakat ini, mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas kekal empat orang iaitu Dr Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, dan warga Indonesia Surinah, 30-an.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS