Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pindaan akta wajibkan keluarga bekas suami bayar nafkah

kemaskini 7:58pm Jabatan Peguam Negara sedang menyiap draf pindaan terhadap Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi mewajibkan keluarga terdekat bekas suami membayar nafkah anak-anak.

"Kita ke arah untuk menyiapkan draf (pindaan tersebut), bila siap (kita) akan bawa untuk dibincangkan," kata ketua unit pembangunan undang-undang keluarga Islam jabatan berkenaan Walid Hassan

Beliau, bekas hakim Mahkamah Tinggi Syariah Butterworth, menjelaskan draf tersebut antaranya menyentuh tanggungjawab bapa mertua isteri yang wajib membayar nafkah kepada menantu dan cucunya sewaktu suami melarikan diri daripada memberikan nafkah.

"Dia (isteri) kena cari pada bapa mertuanya. Bapa mertuanya wajib menafkahi anak menantunya dan juga anak cucunya tadi. Jadi itu yang diwajibkan nanti dalam pindaannya nanti.

"Kalau bapa mertua tidak ada atau ada, tetapi tidak mampu untuk membayar nafkah, (berpindah) kepada adik-beradik si suami. Dia patut menanggung nafkah anak saudara dan iparnya. Sebab apa, dia (isteri) masih belum bercerai.

"Tetapi sekiranya bercerai (dan) habis iddah, kembali kepada bapa perempuan untuk menanggung nafkahnya," jelas Walid.

Mengulas jumlah kes kegagalan suami membayar nafkah, beliau berkata perangkaan tersebut boleh diperolehi daripada pengurus data di mahkamah.

"Jadi orang awam masih belum dapat akses, insya Allah akan dibuat dalam masa hadapan," tambahnya.

Bercakap di satu forum bersempena simposium sehari 'Pembentukan Keluarga Adil, Stabil dan Bahagia' di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Walid bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut butiran pindaan tersebut.

Bulan lepas, ketua pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Ibrahim Lembut berkata undang-undang keluarga Islam sedia ada tidak menyatakan dengan jelas tanggungjawab seorang lelaki untuk memberi nafkah wajib kepada bekas isterinya ataupun anak setelah bercerai.

"Draf ini akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dan ia dijangka dibuat dalam tempoh masa terdekat," beliau dipetik berkata.

Ibrahim berkata jumlah kes membabitkan kegagalan suami membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak memang besar, dan ia bukan sahaja berlaku kepada suami yang tidak mampu untuk memberi nafkah malah juga kepada golongan berada tetapi sengaja tidak mahu memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak.

Turut hadir dalam forum tersebut, dua ahli panel iaitu ketua hakim Mahkamah Syariah Terengganu, Datuk Ismail Yahya dan ketua penolong pengarah bahagian dasar dan penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohd Asri Tahir.

Sementara itu dalam sidang media sebelum forum, bekas pemimpin Sisters in Islam (SIS), Zainah Anwar menjelaskan NGO tersebut akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan "jabatan nafkah anak" yang berstatus sebagai agensi kerajaan untuk menguruskan nafkah anak-anak.

Selain itu, tambahnya, jabatan itu bertujuan mengelakkan si isteri untuk berulang-alik ke mahkamah berhubung tuntutan nafkah.

Zainah berkata, cadangan tersebut mengikut beberapa model di beberapa buah negara khususnya di Australia dan England.

"Ia berkesan," katanya, sambil menambah masalah nafkah anak dapat diselesaikan sehingga 85 peratus setelah kewujudan jabatan tersebut di Australia.

Dalam sidang media yang sama, penasihat khas perdana menteri Datuk Seri Shahrizat Jalil menyokong penuh cadangan SIS tersebut dan menjadi sebahagian agenda perjuangan Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) yang ditubuhkan pada Jun lepas

Senada dijangka dilancarkan secara rasmi pada Januari depan.

Shahrizat juga menjelaskan, beliau difahamkan pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dibentang di Parlimen tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS