Bekalan ikan tempatan akan terjejas secara mendadak seandainya nelayan pukat tunda di Selangor dan Perak meneruskan ancaman mereka untuk tidak ke laut selama tiga hari, mulai 12 Disember ini, sebagai membantah keengganan kerajaan menurunkan harga subsidi diesel kepada RM1 seliter.
Ketika menegaskan demikian, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, tindakan nelayan terbabit boleh menyebabkan separuh daripada keseluruhan bekalan ikan tempatan akan terganggu.
"Mereka (nelayan pukat tunda) tunggu dan sabar sudah lama. Mereka merayu banyak pihak supaya membuat ketetapan," kata Dr Chua dalam sidang media bersama pemimpin persatuan nelayan Selangor dan Perak di ibu pejabat MCA hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Nelayan Selangor dan Perak, Ji Wei Cheng dan timbalannya, Ji Gyi Bao.
"Mereka mungkin memboikot pada 12 hari bulan ini sebagai tanda bantahan kerana nasib mereka tidak diberi perhatian," kata Dr Chua sambil menambah, nelayan di Sarawak akan turut menyertai bantahan tersebut.
Katanya, persatuan nelayan membuat tuntutan itu kerana harga diesel tahun ini telah turun sebanyak enam kali, tetapi nelayan masih membayar harga yang sama iaitu RM1.43 seliter.
Harga diesel di pasaran sekarang dijual RM1.80 seliter.
Tuntutan nelayan itu, tambah Chua dibuat kerana nelayan terbabit mengalami kerugian akibat kenaikan kos pelbagai jenis barangan.
Usul DAP
Sebuah bot pukat tunda besar memerlukan 20,000 hingga 25,000 liter diesel sehari manakala bot pukat tunda kecil memerlukan 8,000 hingga 10,000 liter sehari.
Ahad lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim meminta kira-kira 70,000 nelayan di negara ini supaya tidak menyertai mogok anjuran DAP bulan ini berhubung beberapa tuntutan, termasuk mengurangkan harga minyak diesel subsidi.
Baru-baru ini, ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen mengemukakan usul berhubung empat tuntutan iaitu menurunkan harga minyak subsidi kepada RM1 seliter, mengurangkan pencerobohan nelayan asing, ramai nelayan didakwa belum menerima elaun sara hidun RM200 sebulan dan mahu Zon A dan Zon B perikanan dibuka kepada nelayan asing.
Bagaimanapun usul tergempar DAP telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.
Rohani dilaporkan berkata, parti pembangkang itu ingin menjadi jaguh kepada nelayan tetapi tidak pernah berusaha membangunkan industri perikanan negara, lapor Bernama.
Menurut Dr Chua lagi, kerajaan patut mewujudkan bantuan dan menjalankan program sama ada berbentuk pampasan atau latihan kepada nelayan-nelayan supaya mereka boleh beralih kepada indistri lain.
"Kalau mereka boleh beralih kepada bidang lain, subsidi (diesel) boleh dijimatkan," katanya.
