Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda DAP (Dapsy) Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir kerana didakwa bertindak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan apabila menyarankan supaya sekolah vernakular di negara ini ditutup.

Ia juga mendakwa, kenyataan Mukhriz bahawa sekolah Cina dan Tamil menjejaskan perpaduan kaum di negara ini, adalah berunsur hasutan.

Ketua Dapsy Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Terubong, membuat laporan tersebut di balai polis di Jalan Patani di Georgetown hari ini.

Beliau ditemani Adun Kampung Kolam, Ng Wei Aik; R Sanisvara Nethaji Rayer (Adun Seri Delima) dan Lau Keng Ee (Pengkalan Kota). Sanisvara juga merupakan setiausaha politik Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Yeoh juga menuduh Mukhriz, yang juga calon ketua Pemuda Umno, mempolitik isu sekolah vernakular untuk menaikkan kedudukannya dalam Umno.

Bagaimanapun, Yeoh menegaskan bahawa Dapsy tetap tegas dengan pendiriannya bahawa sistem sekolah vernakular terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan diterima dalam dasar pendidikan nasional.

"Perlembagaan membolehkan semua kumpulan etnik di negara ini mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

"Kewujudan sistem pendidikan vernakular telah mengkayakan lagi kepelbagaian budaya dan bahasa dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.

"Malah, sekolah-sekolah tersebut telah melahirkan pemimpin dan pemikir agung dan memberi sumbangan besar dalam pertumbuhan sosio-ekonomi negara sejak bertahun-tahun lamanya," kata Yeoh yang juga seorang peguam.

Baca berita penuh

ADS