Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid hairan dengan dakwaan bekas naib ketua, Datuk Arif Shah Omar Shah bahawa beliau diketepikan oleh ketua bahagian tersebut.

abdul jalil abdul majid “Saya terkejut dengan apa yang dia kata (menyertai PKR). Saya tahu pun dalam akhbar sahaja.

“(Tetapi) itu hak dia, itu pendirian dia. Itu keputusan dia. Dia sudah matang,” katanya ketika diminta mengulas laporan mengenai Arif Shah yang berhasrat menyertai PKR.

Semalam, Arif Shah yang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos lalu dilaporkan berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menyertai parti itu selepas mendakwa diketepikan oleh Abdul Jalil.

arif shah omar shah Arif Shah yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Seberang Jaya, kalah kepada Abdul Jalil dalam pemilihan jawatan ketua Umno bahagian Permatang Pauh November lalu.

Mengulas perkara tersebut, Abdul Jalil berkata, dakwaan itu tidak benar dan tiada sebab untuk meminggirkan Arif Shah.

Pemilihan bahagian

“Itu kata dia. Dia masih YB, orang Umno yang undi dia sehingga menang kerusi Seberang Jaya,” katanya.

Ditanya kemungkinan Arif Shah kecewa kerana beliau kalah dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dan pemilihan jawatan ketua bahagian, Abdul Jalil berkata, beliau (Arif Shah) ia boleh menilai sendiri.

“Orang sudah tidak mahu dia lagi. Dia boleh nilai dari pertandingan kedua-dua itu.

“Dalam pemilihan jawatan ketua bahagian, beliau kalah teruk,” tambahnya.

Arif Shah hanya meraih 84 undi berbanding Abdul Jalil yang mendapat 162 undi, manakala (bekas naib ketua bahagian) Datuk Pirdaus Ismail mendapat 144 undi.

Bagaimanapun, Abdul Jalil selaku penyandang jawatan ketua bahagian berkata, hubungan beliau dengan Arif Shah adalah baik dan tidak ada masalah peribadi.

Enggan mengulas

Menurutnya, mereka kerap bertemu iaitu dua tiga hari sekali, terutama yang membabitkan program parti.

“Kali terakhi kami berjumpa ialah Jumaat lalu tetapi beliau tidak bercakap apa-apa mengenai rasa tidak puas hati.

“Dia dalam bahagian (Permatang Pauh) okay. Orang bahagian pun tidak bercakap apa-apa mengenai dia nak masuk PKR,” katanya lagi.

Abdul Jalil bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada parti akan kehilangan seorang pemimpin jika Arif Shah menyertai PKR.

Sebaliknya, kata beliau, itu hak dan keputusannya Arif Shah sendiri.

ADS