Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah timbalan menteri disemadi
Diterbitkan:  Nov 29, 2008 3:50 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Jenazah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail, yang meninggal dunia petang semalam, selamat dikebumikan di Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menziarahi jenazah di kediaman allahyarham di Lorong Kenanga, Batu Burok, tidak jauh dari istana baginda, pada 10.45 pagi, lapor Bernama .

Kenamaan yang turut hadir di kediaman allahyarham termasuklah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Sains dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof serta Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Sultan Zainal Abidin selepas solat Zohor.

Menurut agensi berita itu lagi, ramai ahli keluarga dan kenalan beliau memberikan penghormatan terakhir serta menyaksikan upacara pengebumian itu, dalam keadaan hujan, di perkuburan Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir secara mengejut ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands kira-kira 6.30 petang semalam.

Allahyarham berada di institut tersebut kerana menghadiri Konvensyen Nasional ke-8 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Jenazah allahyarham tiba di kediamannya dari Hospital Bentong, Pahang kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Pada pilihanraya umum Mac lepas, allahyarham memperoleh 32,562 undi menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,562 undi) dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, (685).

Razali sebelum ini dilantik pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS