Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno ambil tindakan ahli buat laporan palsu
Diterbitkan:  Nov 28, 2008 6:50 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Umno akan mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat laporan palsu mengenai politik wang dalam pemilihan parti peringkat cawangan dan bahagian baru-baru ini.

tengku adnan mansor 041007 Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Jawatankuasa Lembaga Disiplin akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini untuk memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati tiga suku daripada 900 hingga 1,000 laporan yang diterima adalah palsu, sekaligus berniat jahat untuk menjatuhkan individu yang dilaporkan, demikian dilaporkan Bernama.

"Tindakan akan diambil ke atas mereka yang terlibat. Selepas meneliti semua laporan itu, tiga suku daripada aduan itu adalah tidak benar.

"Kepada yang didapati bersalah, Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menentukan hukuman yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis program bersama rakyat `membaik pulih Sungai Chuau dan menambah populasi kelah' di Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menyatakan demikian ketika ditanya mengenai laporan politik wang yang diterima Umno.

Menurutnya, sebarang laporan berhubung perkara seumpama itu perlu disertakan dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil memandangkan ada laporan dibuat berikutan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu.

"Banyak cakap pasal politik wang, cakap kerajaan rasuah, kalau ada bukti, laporkan. Beri kami bukti. Dia kalah bukan kerana politik wang, tapi pasal dia tak berkhidmat untuk rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS